31 Mac 2019 - 14:54
Arab Saudi Godam Telefon CEO Washington Post

Siasatan berhubung kebocoran data daripada telefon peribadi ketua pengarah eksekutif Amazon dan Washington Post, Jeff Bezos menunjukkan bahawa perkara itu telah dilakukan oleh Arab Saudi berikutan liputan meluas Washington Post terhadap kes pembunuhan Jamal Khashoggi.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Siasatan berhubung kebocoran data daripada telefon peribadi ketua pengarah eksekutif Amazon dan Washington Post, Jeff Bezos menunjukkan bahawa perkara itu telah dilakukan oleh Arab Saudi berikutan liputan meluas Washington Post terhadap kes pembunuhan Jamal Khashoggi.

Penemuan itu diumumkan oleh Gavin de Becker, seorang perunding keselamatan dan rakan lama Bezos yang baru-baru ini melantiknya untuk menyiasat bagaimana mesej teks dan fotonya berjaya diperolehi oleh American Media Inc (AMI), penerbit tabloid National Enquirer.

"Penyiasat dan beberapa pakar kami menyimpulkan kes ini dengan keyakinan penuh bahawa Arab Saudi memiliki akses kepada telefon Bezos dan (melalui akses itu, mereka berjaya) mencuri maklumat peribadi (Bezos)," tulis de Becker dalam sebuah artikel untuk laman web The Daily Beast pada hari Sabtu.

Pada halaman depan bulan Januari, National Enquirer berkata Bezos telah "didapati berlaku curang terhadap isteri yang dikahwininya selama 25 tahun dengan seorang teman kepada tokoh Hollywood!"

Sebulan selepas penerbitan itu, Bezos menuduh AMI memeras ugutnya dengan mengatakan bahawa mereka telah mengancam untuk menerbitkan gambar intimnya jikalau dia gagal mengatakan bahawa laporan tabloid itu tidak memiliki motif politik. -Press TV