23 April 2019 - 15:05
87 Bahan Peledak Ditemukan, 290 Maut

Sejumlah 87 bahan peledak ditemukan di sebuah stesen bas dekat sini dengan jumlah kematian ekoran serangan bom di beberapa kawasan di Sri Lanka semalam meningkat kepada 290 orang manakala lebih 500 yang lain cedera.

Agensi Berita Ahli Bait (ABNA24) - Sejumlah 87 bahan peledak ditemukan di sebuah stesen bas dekat sini dengan jumlah kematian ekoran serangan bom di beberapa kawasan di Sri Lanka semalam meningkat kepada 290 orang manakala lebih 500 yang lain cedera.

Polis menemukan bahan peledak itu di stesen bas Bastian Mawatha, 12 daripadanya ber­taburan di atas tanah manakala 75 lagi di tempat pembuangan sampah berdekatan.

Terdahulu, pasukan keselamatan turut menemukan bahan letupan yang diubah suai (IED) di jalan raya menuju ke terminal utama lapangan terbang dekat sini lewat malam semalam.

Bagaimanapun, serangan di beberapa buah hotel termasuk gereja ketika perayaan Easter semalam menimbulkan ‘perdebatan’ pelbagai pihak apabila dokumen yang diperoleh AFP menunjukkan Ketua Polis Sri Lanka, Pujuth Jayasundara telah mengeluarkan amaran risikan kepada pegawai atasan sejak 10 hari lalu.

Dokumen itu menyebut mengenai rancangan serangan pengebom bunuh diri di gereja-gereja utama di negara ini.

Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe mengakui ‘adanya maklumat’ mengenai kemungkinan serangan dan siasatan lanjut akan meneliti ‘mengapa tindakan pencegahan yang mencukupi tidak diambil’.

Ekoran itu, kerajaan meng­arahkan perintah berkurung baharu dikuatkuasakan pada pukul 8 malam ini sehingga 4 pagi esok.

AFP memetik jurucakap polis, Ruwan Gunasekara sebagai berkata, 24 individu ditahan untuk siasatan lanjut dan dipercayai ada kaitan dengan sebuah kumpulan ekstremis.

Sementara itu, seorang saksi, Dilip Fernando memberitahu, tindakan dia dan isterinya me­ninggalkan Gereja St. Sebastian kerana terlalu sesak telah menyelamatkan mereka daripada menjadi mangsa serangan.

“Walaupun kami tiba seawal pukul 7.30 pagi, gereja itu penuh sesak dan kami mengambil keputusan untuk pergi ke gereja lain,” kata pesara berusia 66 tahun itu yang meninggalkan tujuh ahli keluarga termasuk menantu dan cucu-cucunya di luar gereja itu kerana mereka tidak mahu mengikutnya.

Fernando memberitahu, sebelum beredar, dia terserempak dengan seorang lelaki berusia 30-an yang membawa sebuah beg besar, menyentuh kepala cucunya ketika melalui mereka.

Lelaki itu katanya, dilihat tenang dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ketika memasuki gereja itu.

“Sebaik sahaja lelaki itu ma­suk, gereja tersebut meletup,” katanya yang bersyukur ke­semua ahli keluarganya selamat tanpa sebarang kecederaan.

Terkini, BBC melaporkan, sekurang-kurangnya dua letupan kecil dilaporkan berlaku di Gereja St. Anthony menyebabkan orang ramai panik dan lari menyelamatkan diri.

Letupan berlaku ketika polis cuba menyahaktif bom yang baru ditemukan berhampiran gereja berkenaan. – AGENSI/AFP