Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Puluhan ribu warga Iran menyertai demonstrasi tahunan bagi menyatakan sokongan kepada Palesin dan menolak pelan damai Amerika Syarikat (A.S), hari ini.
Tunjuk perasaan tahunan yang dinamakan sebagai 'Hari al-Quds (Baitulmuqaddis)' yang diadakan setiap hari Jumaat terakhir pada bulan Ramadan sebelum ini diperkenalkan oleh pemimpin revolusi Iran, Marhum Ayatollah Ruhollah Khomeini dan setiap tahun turut disertai oleh kumpulan pro-Palestin di rantau itu dan di seluruh dunia termasuk Malaysia dan Indonesia.
Para peserta protes di Tehran, Qom, Tabriz, Mashhad, Isfahan dan beberapa bandar penting lain di Iran membawa sepanduk yang mengutuk kezaliman rejim Zionis dan sekutu mereka ke atas warga Palestin.
Sebahagian daripada mereka turut membakar bendera Amerika Syarikat dan rejim Israel serta boneka Presiden Donald Trump dan Perdana Menteri Rejim Zionis, Benjamin Netanyahu.
Mereka juga membawa sepanduk yang membawa mesej bahawa Baitulmuqaddis selamanya adalah ibu negara Palestin. Sebahagian yang lain pula membawa sepanduk yang mengatakan tidak kepada perjanjian abad ini. Perjanjian tersebut adalah sebuah usul yang sedang diusahakan oleh pentadbiran Presiden Trump untuk menamatkan konflik Palestin-Zionis.
Akan tetapi, perjanjian itu mendapat banyak tentangan termasuk daripada pemerintah Palestin, Iran dan beberapa negara lain. - ABNA24