31 Ogos 2019 - 18:43

Situasi tegang di Jayapura dekat Papua, semalam berlarutan sehingga malam memaksa ribuan penduduk mencari perlindungan di kem tentera berhampiran ketika aksi penjarahan kedai terus berlaku.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Situasi tegang di Jayapura dekat Papua, semalam berlarutan sehingga malam memaksa ribuan penduduk mencari perlindungan di kem tentera berhampiran ketika aksi penjarahan kedai terus berlaku.

Tribunnews melaporkan, kebanyakan penduduk menyatakan kebimbangan akan keselamatan mereka ekoran tindakan di luar kawalan kumpulan penunjuk perasaan itu.

Seorang penduduk Entrop yang melarikan diri ke Kem Ang­katan Tentera Laut Hamadi, Sinta berkata, mereka takut untuk pulang ke rumah selepas penunjuk perasaan masih belum pulang daripada melakukan bantahan sejak pagi.

“Kami tiada pilihan lain, jadi kami terpaksa mencari perlin­dungan di sini,” katanya.

Situasi tegang itu menyaksikan penunjuk perasaan membakar dua buah kereta selain menahan kenderaan yang melalui kawasan berhampiran Pejabat Gabenor di Jalan Soa Siu Dok 2

Mereka turut menjarah beberapa buah kedai di Entrop selain membakar premis itu.

Bagi meredakan keadaan, kira-kira 1,200 anggota Briged Gerakan Polis (Brimob) dikerahkan ke bandar Jayapura.

Selain itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menggesa rakyat Papua bertenang dan tidak melakukan tindakan anarkis yang melanggar undang-undang negara.

“Saya sentiasa memantau rapat situasi semasa di Papua dan saya minta masyarakat tenang tanpa melakukan tindakan anarkis.

“Semuanya akan rugi apabila kemudahan awam yang telah dibangunkan rosak,” kata Jokowi. – AGENSI