Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Ribuan orang ramai menandatangani petisyen dalam talian, bagi membantah cadangan untuk meruntuhkan dua bangunan awal abad ke-20, yang masih kukuh binaannya, selepas serangan bom atom di Hiroshima.
Kerajaan tempatan yang mengesahkan perkara itu kepada AFP berkata, mereka sudah menerima petisyen yang ditandatangani 12,000 penduduk, bagi mendesak supaya bangunan itu dikekalkan.
Bangunan setinggi tiga tingkat yang dibina menggunakan batu bata merah itu, terletak kira-kira 2.7 kilometer daripada lokasi letupan bom atom pada 1945.
Ia adalah sebahagian daripada kumpulan empat bangunan yang dibina paa 1913 dan digunakan sebagai kilang menghasilkan pakaian seragam tentera Jepun.
Namun, ketika pemeriksaan rutin gempa bumi dua tahun lalu, mendapati ia tidak mampu lagi menahan sebarang gegaran kuat.
“Kami tidak mempunyai pilihan lain kerana jika berlaku sebarang runtuhan ia akan menjejaskan penduduk yang tinggal di kawasan sekitarnya,” kata seorang pegawai yang enggan namanya didedahkan.
Pihak berkuasa tempatan memiliki hak ke atas tiga daripada empat bangunan itu, manakala sebuah lagi hartanah dimiliki oleh Kerajaan Pusat.
Kerajaan tempatan menganggarkan kos bagi memulihara kesemua tiga bangunan itu akan menelan kos sebanyak 8.4 bilion yen (RM317.5 juta).
Justeru, mereka bercadang meruntuhkan dua daripada bangunan terbabit dan memulihara baki satu hartanah itu, dengan anggaran kos lebih rendah, iaitu antara 1.4 bilion yen (RM52.9 juta) hingga 3.1 bilion yen (RM117. 2 juta).
Bagaimanapun, cadangan itu tidak mendapat sambutan penduduk tempatan, apabila petisyen dalam talian berjaya meraih hampir 15,000 tandatangan.
Memorial Keamanan Hiroshima atau Genbaku Dome berkenaan adalah antara struktur paling terkenal yang masih berdiri kukuh, selepas kejadian bom atom pertama pada 6 Ogos 1945.
Dalam pada itu, masih terdapat puluhan bangunan lain yang terselamat dalam kejadian itu, dan kebanyakannya terletak dalam lingkungan lima kilometer radius dari lokasi bom atom itu.
Sekurang-kurangnya 140,000 maut selepas bom atom itu digugurkan di Hiroshima pada 1945, manakala 74,000 lagi terkorban apabila bom atom kedua meletup di Nagasaki, tiga hari kemudian. - AFP
17 Disember 2019 - 17:29
News ID: 994616
Ribuan orang ramai menandatangani petisyen dalam talian, bagi membantah cadangan untuk meruntuhkan dua bangunan awal abad ke-20, yang masih kukuh binaannya, selepas serangan bom atom di Hiroshima.