Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Jumaat

10 Januari 2020

6:11:37 PTG
1001134

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah mengenakan sekatan baru terhadap Republik Islam Iran dengan menyasarkan industri logam dan beberapa pegawai kanan Tehran berikutan tindakan balas tentera negara Timur Tengah itu terhadap pembunuhan Leftenan Jeneral Pasukan Quds IRGC, Haji Qasem Soleimani.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah mengenakan sekatan baru terhadap Republik Islam Iran dengan menyasarkan industri logam dan beberapa pegawai kanan Tehran berikutan tindakan balas tentera negara Timur Tengah itu terhadap pembunuhan Leftenan Jeneral Pasukan Quds IRGC, Haji Qasem Soleimani.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo dan Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin mengumumkan langkah baru itu di dalam sebuah sidang akhbar yang berlangsung di Rumah Putih pada hari Jumaat.

Sekatan itu mula dijanjikan oleh Trump pada hari Rabu selepas Iran melancarkan puluhan peluru berpandu ke atas dua pangkalan udara Washington yang terletak di neagra Iraq.

Sekatan baru itu menyasarkan industri pembinaan, pembuatan, tekstil, perlombongan, aluminium, tembaga, besi dan keluli Iran, kata Mnuchin.

Washington juga mengenakan larangan ke atas lapan pegawai kanan Iran dengan alasan bahawa mereka terlibat di dalam serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat.

"Kami mengumumkan sekatan tambahan terhadap rejim Iran akibat serangan ke atas pasukan A.S. dan pasukan bersekutu," kata Mnuchin. "Sekatan hari ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk menghentikan aktiviti keganasan global oleh rejim Iran."

"Saya rasa kami mempunyai keyakinan 100 peratus dan kami konsisten dengan pandangan kami bahawa sekatan ekonomi sedang berfungsi dengan baik," katanya. "Sekiranya kita tidak mempunyai sekatan ini, secara harfiahnya Iran akan memiliki puluhan bilion dolar. Mereka kemudiannya akan menggunakan (dana itu) untuk kegiatan keganasan di seluruh rantau sekaligus membolehkan mereka melakukan perkara yang lebih buruk. "

Dakwaan tidak berasas pentadbiran Trump terhadap Iran itu dibuat beberapa hari selepas tentera A.S sendiri melancarkan serangan pengganas terhadap pemerintah operasi anti-keganasan Iran yang paling menonjol di Timur Tengah.

Tentera A.S sebelum ini melancarkan serangan udara di bawah arahan langsung Presiden Trump berhampiran lapangan terbang antarabangsa Baghdad pada awal hari Jumaat sekaligus membunuh Syahid Soleimani, Naib Ketua Unit Mobilisasi Popular Iraq (PMU), Abu Mahdi al-Muhandis serta lapan lagi anggota pengiring mereka.

Pada awal hari Rabu, Iran bertindak balas terhadap pembunuhan tersebut dengan menyerang pangkalan udara Amerika Syarikat di Ain al-Assad yang terletak di wilayah Anbar dan sebuah pangkalan lain yang terletak di Erbil, ibukota wilayah Kurdistan, Iraq.

Serangan peluru berpandu Iran ke atas pangkalan A.S di Iraq dilancarkan Tehran dengan tidak mengendahkan ancaman Trump terhadap negara Republik Islam untuk tidak memberikan respon ke atas pembunuhan Jeneral Soleimani.

Serangan itu turut menimbulkan krisis terbesar sepanjang pentadbiran Presiden Trump di Washington seperti yang dilaporkan CNN.

Majoriti warga Amerika Syarikat berpendapat bahawa pembunuhan Qassem Soleimani telah menjadikan Amerika kurang selamat dan menunjukkan tingkah laku "melulu" Trump berhubung dengan isu Iran, lapor sebuah tinjauan baru.

Bancian USA Today / Ipsos mendapati 55% -24% rakyat Amerika Syarikat percaya bahawa pembunuhan tersebut telah menjadikan Amerika Syarikat kurang selamat sekaligus menolak alasan asasi yang dikemukakan oleh pentadbiran Trump berhubung pembunuhan itu.

Pungutan suara itu juga mendapati bahawa majoriti orang yang ditinjau iaitu 52% -34%, menyifatkan tingkah laku Trump terhadap Iran sebagai "melulu." -Press TV