Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Turki mengutuk sekeras-kerasnya perjanjian antara Israel dan Bahrain bagi memulihkan hubungan antara kedua-dua negara dengan menggambarkannya sebagai tamparan baharu bagi perjuangan Palestin.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam, mengumumkan perjanjian damai antara Israel dan Bahrain, sekali gus menjadi negara Arab kedua yang memulihkan hubungan bersama bekas musuh dalam tempoh kurang sebulan.
Kementerian Luar Turki, semalam, menyatakan Ankara amat prihatin dengan gerakan itu dan mengutuk sekeras-kerasnya perjanjian berkenaan.
"Langkah itu menjadi tamparan hebat bagi usaha mempertahankan perjuangan rakyat Palestin, selain mendorong Israel untuk meneruskan amalan tidak sah terhadap Palestin termasuk percubaan untuk mengekalkan pendudukan mereka di sana," kata kementerian itu melalui kenyataan.
Katanya, langkah itu bertentangan dengan komitmen di bawah Inisiatif Damai Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam yang menuntut pengeluaran sepenuhnya Israel dari wilayah Palestin selepas 1967.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, iaitu seorang Muslim yang taat ialah penyokong kuat hak Palestin yang dilihat sering mengkritik dasar Israel di Tebing Barat.
Selepas perjanjian antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Israel, bulan lalu, Erdogan memberi amaran bahawa Turki mungkin menangguhkan hubungan diplomatik dengan negara Teluk sebagai tindakan balas. - AFP
source : Berita Harian
Sabtu
12 September 2020
3:41:50 PTG
1070051

Turki mengutuk sekeras-kerasnya perjanjian antara Israel dan Bahrain bagi memulihkan hubungan antara kedua-dua negara dengan menggambarkannya sebagai tamparan baharu bagi perjuangan Palestin.