Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med dalam kenyataan semalam melahirkan kebimbangan terhadap pembunuhan dan hukuman mati kerana pasukannya mendokumenkan tembakan di hospital sejak minit awal serbuan.
Mereka turut menegaskan kompleks Al-Shifa tidak menyaksikan sebarang tembakan selain daripada tentera Israel.
Organisasi yang berpangkalan di Geneva itu menekankan tentera Israel adalah satu-satunya pihak yang mengawal tempat kejadian di dalam kompleks perubatan Al-Shifa.Tiada pihak ketiga atau organisasi antarabangsa dibenarkan untuk hadir dalam hospital, sekali gus menimbulkan keraguan mengenai naratif Israel yang akan dikeluarkan kemudian. Euro-Med menegaskan dakwaan Israel mengenai penggunaan kompleks perubatan Al-Shifa untuk tujuan ketenteraan tidak memerlukan masa lanjutan untuk mencari dan melakukan serbuan. Oleh itu, terdapat kebimbangan tentera mungkin mencipta naratif untuk memburukkan keadaan. Tentera Israel sengaja memperbesar-besarkan matlamat menyerbu kompleks Al-Shifa sejak beberapa hari lalu, menggambarkannya sebagai pencapaian ketenteraan. Euro-Med menggesa tentera Israel berundur dari Kompleks Al-Shifa dengan segera, dan memenuhi kewajipan di bawah undang-undang konflik bersenjata yang memerlukan pihak yang terlibat dalam konflik bersenjata memastikan perlindungan bantuan dan kakitangan kesihatan dan perubatan kemudahan selain tidak menyekat kerja mereka dalam apa jua cara. - AGENSI
342/