Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian
Jumaat

17 November 2023

8:07:29 PTG
1412540

CLJ selar kenyataan Alexander berhubung pelarian Palestin

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan guaman membidas kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berhubung pelarian Palestin yang disifatkan tidak berperikemanusiaan.

'Concerned Lawyers for Justice' (CLJ) dalam kenyataannya antara lain menyifatkan pendirian Alexander itu tidak tepat, selain bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia dan solidariti antarabangsa terhadap Palestin.

CLJ juga menyatakan kebimbangan berhubung keengganan Sarawak menerima pelarian dari negara yang dikatakan bersifat 'ganas, berang dan kebencian', seperti didakwa Alexander.

"Kami menggesa Alexander mempertimbangkan semula kedudukannya dan mengakui kepentingan menerima pelarian yang berada dalam keadaan terdesak."Komuniti antarabangsa, termasuk Sarawak dan Malaysia perlu bersatu-padu memberi sokongan dan bantuan kepada mangsa keganasan, merentasi perbezaan negara asal mereka," kata kenyataan CLJ. Alexander kelmarin, dipetik berkata kerajaan disarankan tidak menerima pelarian dari Palestin berikutan keluasan negara yang kecil, selain enggan menambah beban dengan kemasukan golongan berkenaan. Kenyataan Ahli Parlimen Kapit itu dibuat selepas gabungan pertubuhan awam di Sabah dan Sarawak menggesa kerajaan memeriksa pencari suaka dari Palestin bagi memastikan unsur militan dan radikal tidak dibenarkan masuk. Sementara itu, mengakui kerumitan isu geopolitik, CLJ meminta kalangan pemimpin berhati-hati mengeluarkan kenyataan mengelak pengekalan stereotaip dan maklumat salah, selain menyifatkan pelabelan demikian boleh menyumbang kepada naratif tidak seimbang dan menghalang usaha ke arah resolusi aman. "Penting bagi pemimpin untuk menyumbang ke arah wacana antarabangsa melalui kaedah yang menggalakkan dialog, persefahaman dan usaha mencapai keamanan. "CLJ juga menggesa semua pihak terbabit dalam konflik Israel-Palestin mengutamakan perlindungan orang awam, menghormati perundangan antarabangsa dan sentiasa melakukan libat urus terhadap usaha perdamaian," kata CLJ dalam kenyataan itu.

342/