Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian
Isnin

18 Disember 2023

5:03:00 PTG
1421337

Israel dakwa temui terowong terbesar pejuang Hamas

GAZA: Tentera Israel mendakwa pihaknya sudah menemui terowong terbesar pejuang Hamas berhampiran persimpangan sempadan Erez ketika melancarkan serangannya di Gaza, yang cukup besar untuk dimasuki kenderaan kecil.

Israel berkata terowong itu menelan kos jutaan dolar dan mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina kerana turut mempunyai rel, elektrik, saliran dan rangkaian komunikasi.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkatau pasukannya turut menemui senjata di dalam sebuah terowong yang digunakan pejuang Hamas bagi menyerang tenteranya di Shejaia, pinggir Bandar Gaza.

Pihak berkuasa Israel juga memusnahkan depoh senjata Hamas di dalam rumah salah seorang pejuangnya pinggir Bandar Gaza.Tembakan kereta kebal Israel pula memusnahkan wad bersalin di Hospital Nasser di Khan Younis, mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun.

Tentera Israel mendakwa berjaya membunuh tujuh pejuang Hamas dalam serangan udara di Khan Younis dan menemui alat ganti bagi menghasilkan roket serta tiga terowong dekat sebuah sekolah yang dijadikan pusat perlindungan.

Sementara itu, tentera Israel berkata seramai 121 askarnya terkorban dalam operasi darat yang bermula lewat Oktober lalu akibat pengeboman udara dan artileri tanpa henti.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan seramai 1.9 juta penduduk Gaza atau sekitar 80 peratus kehilangan tempat tinggal akibat perang berkenaan.

Ketua Agensi PBB bagi pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini berkata beliau tidak terkejut sekiranya penduduk di Gaza mula mati kelaparan atau kerana gabungan kelaparan, penyakit dan imuniti yang lemah.



342/