29 Januari 2020 - 19:31
China Berhadapan Ancaman Ekonomi Akibat Coronavirus

Perkembangan sektor perindustrian di China dijangka lembab berikutan penularan wabak coronavirus sehingga melumpuhkan pertumbuhan kuasa besar ekonomi itu.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Perkembangan sektor perindustrian di China dijangka lembab berikutan penularan wabak coronavirus sehingga melumpuhkan pertumbuhan kuasa besar ekonomi itu.

Sejak virus baharu menyerang China, lebih daripada 130 rakyatnya terkorban dengan hampir 6,000 daripada penduduk dijangkiti penyakit yang didakwa bermula di bandar Wuhan.

Antara sektor yang terkesan termasuk pengangkutan, pelancongan dan peruncitan.

China dijangka akan mengeluarkan satu tinjauan mengenai perkembangan sektor selain perusahaan yang mungkin akan menunjukkan prestasi lebih baik dalam menangani kekangan ekonomi semasa.

Rangkaian kedai, restoran dan pawagam dijangka menyaksikan kejatuhan jualan khususnya apabila orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga daripada dijangkiti coronavirus dengan tidak berada di kawasan yang sesak.

Memburukkan lagi keadaan apabila banyak peniaga yang menutup operasi selepas pihak berkuasa mengumumkan cuti tambahan bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

Menurut penganalisis ekonomi, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai bahaya coronavirus, namun terdapat pandangan yang melihatnya sebagai satu tamparan kepada China sebagaimana ketika berlakunya Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003. - Reuters