15 Mei 2020 - 17:31
Anggota Daesh Mengaku Kerjasama Dengan A.S Di Syria

Sejumlah anggota kumpulan pengganas Salafi Takfiri Daesh yang telah ditahan oleh tentera Syria membuat pengakuan perihal kerjasama erat di antara pasukan tentera A.S yang berada di kem al-Tanf, Syria dengan kumpulan tersebut dalam melancarkan operasi keganasan dan sabotaj di negara Arab itu.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Sejumlah anggota kumpulan pengganas Salafi Takfiri Daesh yang telah ditahan oleh tentera Syria membuat pengakuan perihal kerjasama erat di antara pasukan tentera A.S yang berada di kem al-Tanf, Syria dengan kumpulan tersebut dalam melancarkan operasi keganasan dan sabotaj di negara Arab itu.

Di dalam video pengakuan yang disiarkan sebuah rangkaian televisyen Syria pada malam Khamis, tiga anggota pengganas - yang dikenali sebagai Salah Jaber al-Zaher, Ali Salim Yahya dan Amer Abd al-Ghafar Nemah, berkata bahawa mereka diperintahkan oleh pasukan tentera Amerika Syarikat untuk menyasarkan tentera pemerintah Syria di dalam dan sekitar kawasan kota purba Palmyra, Pangkalan Udara Tentera Tiyas - juga dikenal sebagai Pangkalan Udara T-4 -, medan gas Shaer serta telaga minyak berhampiran, lapor agensi berita rasmi Syria, SANA.

"Seorang individu yang sebelum ini rapat dengan pemerintah kami, Hassan Alqam al-Jazrawi pernah datang kepada saya dan mengatakan bahawa dia berhubung rapat dengan pegawai tentera Amerika Syarikat di pangkalan al-Tanf. Lelaki itu, yang bernama Hassan al-Wali juga berkata tentang peri penting menyasarkan Pangkalan Udara Palmyra serta T4 dan (dia juga memberi jaminan) bahawa pasukan A.S akan membekalkan kami dengan pelancar roket dan mesingan selain daripada sokongan kewangan, kenderaaan dan apa sahaja yang kami perlukan.

"Dia menambahkan dengan mengatakan bahawa pihak Amerika Syarikat juga akan memaklumkan kami tentang kegiatan mereka (tentera Syria)," kata salah seorang pengganas tersebut.

A.S sering mendakwa bahawa mereka giat membanteras keganasan di negara Arab Syria sebagai alasan untuk menempatkan tentera mereka di negara itu tanpa sebarang mandat PBB ataupun restu daripada kerajaan sah di Damsyik. Naratif A.S itu walaubagaimanapun kerap dicabar oleh pemerintah Damsyik dan sekutunya yang tegas mengatakan bahawa keberadaan Washington hanya mengeruhkan lagi situasi keselamatan di negara itu.  -Press TV