25 Julai 2020 - 14:02
China Tegas Menentang Sebarang Tindakan Babitkan HK

China akan tegas menentang sebarang campur tangan terhadap urusan dalamannya selepas United Kingdom (UK) menggantung perjanjian ekstradisi dengan Hong Kong dan melaksana sekatan senjata di kepulauan itu.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - China akan tegas menentang sebarang campur tangan terhadap urusan dalamannya selepas United Kingdom (UK) menggantung perjanjian ekstradisi dengan Hong Kong dan melaksana sekatan senjata di kepulauan itu.

Jurucakap Kedutaan China ke London, dalam kenyataan di laman sesawangnya, mendakwa UK sekali lagi melanggar undang-undang antarabangsa dan dasar hubungan antarabangsa.

"UK secara terang-terangan mencampuri urusan dalaman China dengan mengganggu pelaksanaan Undang-undang Keselamatan Kebangsaan di Hong Kong, selain merosakkan kemakmuran serta kestabilan bandar.

"China mengutuk dan menentang keras campur tangan itu dan kita tetap teguh melaksanakan undang-undang ini di Hong Kong bagi melindungi kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan," katanya.

Setiausaha Luar UK, Dominic Raab, sebelum ini mengumumkan di parlimen bahawa UK akan menangguhkan perjanjian ekstradisi dengan Hong Kong serta merta tanpa batasan masa dan melanjutkan sekatan senjata ke wilayah itu.

"Sejak kebelakangan ini, UK berulang kali membuat kenyataan yang salah mengenai undang-undang baharu ini.

"China sudah berulang kali menghantar perwakilan ke UK untuk menyatakan pendirian dan tentangan kuat kami.

"Segala tindakan menekan China dan menghalang pelaksanaan undang-undang ini akan menghadapi tentangan kuat daripada 1.4 bilion rakyat China termasuk di Hong Kong," katanya. -AGENSI