16 September 2015 - 05:32
Dr Mahathir minta Sunni terima Syiah sebagai Muslim

Yahudi dan Amerika bergembira apabila umat Islam saling berbunuhan, kata bekas Perdana Menteri Malaysia.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta majoriti Ahli Sunnah di Malaysia agar menerima Syiah sebagai saudara Islam mereka demi mencegah konflik mazhab yang menjadi punca perpecahan di Timur Tengah, lapor Freemalaysiatoday.com.

Berucap dalam majlis yang dianjurkan pertubuhan ISMA, Mahathir mengingatkan para hadirin bahawa setiap individu Muslim memberikan kesaksian tentang keesaan Allah dan kerasulan Nabi Muhammad. Kedua-dua Sunni dan Syiah juga mempunyai kesaksian yang sama, menurut beliau.

Beliau berkata, bangsa Melayu telah menikmati kebebasan dari persengketaan mazhab sejak sekian lama kerana hampir semua orang Sunni menganuti mazhab Syafie. Namun situasi di dalam negara telah berubah sejak tahun kebelakangan ini dengan kehadiran pegawai dagang dari negara majoriti Syiah seperti Iran.

Beliau mengakui masih wujud keamanan di dalam negara ini, sekurang-kurangnya berbanding dengan situasi di Timur Tengah. Beliau menggesa untuk mengekalkan keamanan melalui toleransi terhadap pandangan-pandangan yang berbeza.

Sambil merujuk kepada Syiah, beliau berkata, "Kita tidak ada hak untuk mengatakan mereka bukan Muslim semata-mata mereka tidak memandang seperti kita dan tidak berpakaian seperti kita."

Berkata tentang peperangan yang tercetus di kalangan Syiah dan Sunni di beberapa negara Muslim, beliau mengulas bahawa mereka sedang melaksanakan objektif Yahudi dan Amerika.

"Yahudi dan Amerika ialah mereka yang ketawa," kata beliau. "Muslim melaksanakan kegiatan untuk mereka. Inilah yang terjadi apabila kita menekankan perbezaan berbanding persamaan."