17 Januari 2016 - 10:09
Pengganas ISIS ditahan di Kuala Lumpur sebelum lancar serangan bom bunuh diri

Seorang anggota pengganas yang berhasrat melancarkan pengeboman bunuh diri berjaya ditangkap pihak berkuasa di stesyen LRT Setiawangsa.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Polis Malaysia berjaya menumpaskan cubaan serangan bunuh diri di negara ini yang diarahkan kumpulan pengganas ISIS dengan tertangkapnya seorang individu di Kuala Lumpur, dua hari lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek rakyat Malaysia berusia 28 tahun itu (jantina tidak dinyatakan) yang disyaki anggota kumpulan Daesh ditangkap di stesen LRT Setiawangsa.

"Suspek mengaku telah merancang untuk melancarkan serangan bunuh diri (suicide bombing) di Malaysia selepas menerima arahan daripada Daesh di Syria," katanya dalam pernyataannya kelmarin.

Beliau berkata suspek merupakan individu yang bertanggungjawab menggantung bendera Daesh di beberapa lokasi di sekitar Terengganu, Perak, Selangor dan Johor.

Tindakan itu kononnya bertujuan memberi peringatan kepada kerajaan Malaysia supaya menghentikan operasi penangkapan ke atas anasir-anasir Daesh, juga dikenali sebagai militan IS (Islamic States) di negara ini, kata Khalid.

Khalid juga berkata tiga lagi rakyat tempatan disyaki anggota Daesh ditahan pihak berkuasa Turki di Gaziantep ketika cuba menyusup masuk ke Syria pada 15 Nov.

"Kesemua mereka dihantar pulang ke Malaysia pada 11 Jan dan ditangkap setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang," katanya.

Menurut Khalid, mereka direkrut melalui Facebook dan aplikasi Telegram oleh warga Malaysia, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi @ Abu Hamzah (ulang: Muhammad Wanndy Mohamed Jedi) yang telah menyertai Daesh di Syria.

Muhammad Wanndy, katanya, juga bertanggungjawab merancang penyusupan masuk ketiga-tiga suspek ke Syria.

Keempat-empat suspek berumur antara 23 dan 28 tahun terdiri daripada pasangan suami isteri berasal dari Perak dan dua lagi berasal dari Terengganu, masing-masing bekerja sebagai jurutera dan ejen insuran.

Kesemua suspek disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)(SOSMA) 2012.

-- BERNAMA