Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) – Mogok lapar jemaah ulama dan pengikut mazhab Syiah Pakistan yang diketuai Hujjatul Islam Allamah Raja Nasir Abbas Ja’fari bermula pada 13 Mei lalu telah masuk hari ke-21.
Allamah Ja’fari melancarkan mogok tersebut berikutan kezaliman ke atas pengikut mazhab Syiah Imamiyah yang tidak diketahui penghujungnya. Akibat mogok tersebut, Allamah Ja’fari telah dimasukkan ke hospital di kota Islamabad pada hari Ahad lalu, namun beliau masih tetap meneruskan perjuangannya.
Hingga kini, ramai penduduk di berbagai wilayah Pakistan seperti Lahore, Karachi dan Parachinar menyertai pergerakan ini meskipun suhu panas mencapai 40 darjah. Solidariti mogok ini telah merebak sehingga ke London dan New York, namun Syiah Pakistan yang ditindas di tanahair sendiri masih memerlukan sokongan di peringkat antarabangsa.
Untuk mengetahui lebih lanjut faktor mogok ini, wartawan ABNA telah melangsungkan wawancara bersama Hujjatul Islam Wal Muslimin Ghulam Hur Shabiri. Beliau merupakan salah seorang pengasas Majlis Wahdat Muslimin Pakistan dan kini menjadi imam di kota Luton, England. Sebelum ini beliau juga berkhidmat sebagai pendakwah selama 10 tahun di Pusat Islam Houston.

Wawancara ABNA bersama Hujjatul Islam Shabiri:
ABNA: Sebagai pertanyaan pertama, tolong jelaskan mengapa Rajih Nasir Abbas Ja’fari dan jemaah Syiah Pakistan melancarkan mogok?
- Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, faktor mogok ini ialah pembunuhan masyarakat Syiah secara besar-besaran sejak tahun-tahun lalu masih berterusan. Kumpulan pengganas di dalam negara ini sejak tahun 1962 hingga kini telah menunjukkan sikap dan membunuh seramai 27,000 Syiah terutama sekali golongan elitnya. Namun kerajaan tidak mengambil tindakan yang wajar dalam isu ini. Para pembunuh dan musuh Syiah bebas melakukan kegiatan dalam negara sehingga sebahagian daripada mereka mendapat sokongan!
Noktah yang lain ialah kerajaan sekarang yang dipimpin Nawar Sharif menunjukkan perseteruan eksklusif dan baru terhadap Syiah. Tanah dan rumah golongan Syiah dirampas secara paksa. Begitu juga penangkapan dan penganiayaan Syiah di berbagai wilayah dilakukan secara agresif. Ulama Salafi yang ekstrem juga berkerjasama dengan kerajaan dalam kezaliman ini.
ABNA: Tolong ceritakan lebih lanjut tentang tindakan terkini kerajaan, iaitu bagaimana tanah-tanah Syiah dirampas?
- Gilgit dan Baltistan antara wilayah majoriti penduduk Syiah Pakistan. Pengikut mazhab Ahlul Bait (a.s) mempunyai banyak rumah di kawasan ini. Tentera dan agensi kerajaan merampas perumahan mereka dengan berbagai cara. Mereka ingin jemaah dan penduduk Syiah menjadi lemah.
ABNA: Apakah hubungannya dengan penerusan penindasan tersebut?
- Iya, situasi bertambah buruk, beberapa hari lalu di kawasan Parachinar yang benar-benar kawasan penduduk Syiah, pasukan keselamatan sendiri yang menyerang penduduk di hari ulangtahun kelahiran Imam Husain (a.s), bukannya pengganas. Beberapa orang telah dibunuh dan dicederakan. Di kawasan Dire Ismail Khan, beberapa hari lalu empat orang telah dibunuh dan kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan.
ABNA: Sebagaimana yang pernah anda katakan, penindasan terhadap Syiah Pakistan sudah berlangsung beberapa dekad. Apakah anda fikir mogok ini mendatangkan faedah?
- Majlis Wahdat Muslimin terutamanya Hujjatul Islam Wal Muslimin Raja Nasir Abbas membuat keputusan untuk meneruskan tindakannya sehingga kerajaan memberi perhatian terhadap tuntutannya yang sah. Mereka ingin menekan kerajaan melalui cara mogok, menarik pemikiran masyarakat awam serta menyedarkan rakyat.
ABNA: Apakah tuntutan peserta mogok?
- Tuntutan mereka secara terperinci adalah seperti berikut:
1. Tindakan wajar demi mencegah pembunuhan Syiah Pakistan di berbagai wilayah Pakistan
2. Merujuk rekod seluruh pembunuhan Syiah seperti insiden di Shikarpur, Jacobabad dan lain-lain lagi kepada mahkamah tentera
3. Membatalkan sekatan majlis azadari Syiah di wilayah Punjab
4. Melarang aktiviti pengganas Takfiri dan pemecah belah.
5. Tindakan wajar kerajaan negeri di wilayah Khyber Pakhtunkhwa menentang pembunuhan Syiah sejak akhir-akhir ini.
6. Membentuk suruhanjaya penyiasat untuk kes pembunuhan Syiah di Parachinar yang dilakukan tentera baru-baru ini.
7. Berhenti merampas tanah-tanah Syiah Gilgit dan Baltistan yang dilakukan oleh kerajaan dan melepaskan seluruh rumah yang telah dirampas.
- Para peserta mogok tidak akan berhenti sehingga 7 tuntutan belum direalisasikan.
ABNA: Apakah anda fikir kerajaan dan terutamanya pihak-pihak berkuasa Pakistan seperti ISI akan tunduk kepada tuntutan ini?
- Berita tentang mogok ini telah tersebar ke seluruh Pakistan dan penduduk sebahagian dari wilayah di Sind, Selatan dan Baltistan di Utara negara ini juga telah mengikuti mogok ini secara berasingan. Namun hingga hari ini kerajaan masih mendiamkan diri. Para peserta mogok mengambil keputusan dengan menekan kerajaan, tuntutan-tuntutan jutaan penduduk Pakistan akan dipenuhi dan sekurang-kurangnya Syiah diberi kekuatan dan hak-hak Syiah dipertahankan. Sekiranya pemikiran umum rakyat di dalam dan luar negara ini sedar, maka misi ini tidaklah mustahil untuk menjadi realiti.
ABNA: Bilakah mogok ini bermula dan hari ini sudah masuk hari ke berapa?
- Sejak hari Jumaat 13 Mei dan sekarang sudah masuk hari ke 19 (31 Mei 2016 ketika wawancara dijalankan)
ABNA: Mogok lapar juga sejak hari pertama?
- Iya, sejak hari pertama mogok, Raja Nasir Abbas memulakan mogok lapar.
ABNA: Berapa orang yang turut menyertai beliau?
- Sebenarnya mogok dilancarkan pihak Hujjatul Islam Raja Nasir Abbas, namun sekarang seluruh pemimpin Majlis Wahdat Pakistan bersama beliau dalam kem mogok. Sebagaimana yang telah saya isyaratkan, dengan tersebarnya berita mogok, penduduk di berbagai wilayah dalam dan luar negara turut membela beliau. Setiap hari puluhan orang datang ke Islamabad untuk menziarahi beliau.
Demikianlah juga kem-kem mogok telah didirikan di kota-kota Lahore, Karachi, Multan, Parachinar dan Baltistan, termasuk di New York. Sebahagian dari mereka memulakan mogok lapar. Beberapa hari lalu, perhimpunan di hadapan kedutaan Pakistan di London telah dimulakan bagi menyatakan setiakawan dengan masyarakat Syiah Pakistan dan menyokong tindakan Raja Nasir Abbas. Dalam masa yang sama, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Pakistan telah mengesahkan tuntutan para peserta mogok. Ini menunjukkan tindakan mogok amat berkesan, alhamdulillah.
ABNA: Di manakah kem mogok?
- Mogok bertempat di hadapan Press Club, iaitu pusat media kumpulan kota Islamabad, ibukota Pakistan.
ABNA: Sekarang bagaimanakah situasi keselamatan para peserta mogok?
- Sudah tentu mereka tidak berada dalam situasi yang baik dan kedhaifan masyarakat awam mengadili jasmani mereka. Kelmarin, mereka terpaksa memindahkan Allamah Raja Nasir ke hospital. Selepas dua jam, beliau kembali ke kem dan meneruskan mogok.
ABNA: Apakah harapan anda terhadap Syiah di luar Pakistan?
- Harapannya ialah, mereka juga merasakan sensitif dengan isu umat Islam Syiah di Pakistan, dan membela mereka semampu yang mungkin.
ABNA: Akhir sekali, apakah anda ada noktah yang lain ingin dituturkan?
- Saya memohon para maraji’, ulama a’lam, elit, pengamal media dan para cendiakawan agar mereka juga menyatakan pandangan mengenai perkara ini secepat mungkin. Dengan membela hak Syiah Pakistan, maka mereka juga harus menyokong para peserta kem mogok. Janganlah ada yang merasakan masalah Pakistan tidak ada apa-apa kepentingan.
ABNA: Kami ucapkan terima kasih atas penyertaan anda dalam wawancara ini.

Sidang akhbar Allamah Raja Nasid Abbas Ja’fari dan pengumuman mogok lapar

Solidariti ulama Syiah dan Sunni dengan para peserta mogok.

Solat jemaah di kem mogok
Syiah Pakistan telah menjadi sasaran utama kumpulan pengganas. Kali ini penduduk awam Syiah di Parachinar telah menjadi mangsa tembakan rambang yang dilepaskan oleh pasukan keselamatan negara ini tanpa sebab munasabah. Sekurang-kurangnya empat orang Syiah terbunuh manakala 10 orang yang lain cedera, sementara puluhan yang lain ditangkap.