Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dato' Haji Othman bin Mustapha dalam satu kenyataan akhbar menegur Berita Harian yang menyiarkan bahawa "Majlis Fatwa Kebangsaan hanya membenarkan dua ajaran Syiah tidak ekstrem diamalkan di negara ini iaitu Syiah al-Zaidiyah dan Jaafariah", pada 17 Mac 2012.
Sambil menafikan pernyataan tersebut, Jakim menegaskan bahawa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada tahun 1984 pernah membuat keputusan mengiktiraf kedua-dua mazhab tersebut. Namun pengiktirafan itu telah dimansukhkan pada tahun 1996 sekaligus memaksa umat Islam di Malaysia berpegang dengan Ahlusunnah Wal Jamaah sahaja disamping penguatkuasaan larangan terhadap penyebaran mana-mana ajaran lain.
Beliau turut meminta pihak Berita Harian membetulkan berita yang disifatkannya sebagai salah lapor supaya tidak dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu.
Namun kenyataan itu agak mengelirukan rakyat Malaysia apabila bertentangan dengan kenyataan Menteri Jabatan Perdana Menteri pada 9 Mac 2011 yang mengatakan pengwartaan mengenai Syiah di negeri Pulau Pinang, Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Melaka adalah tidak menyekat pengamalannya kerana tidak semua ajaran Syiah bertentangan dengan mazhab Ahlusunnah Wal Jamaah. Oleh kerana itu pihaknya sangat berhati-hati tentang larangan tersebut.

Dato' Seri Jamil Khir bin Baharom ketika itu menegaskan bahawa mereka ini bebas mengamalkan ajaran agama seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Dalam masa yang sama mereka ini tidak dibenarkan menyebarkan Syiah kepada orang lain.
"Kerajaan serius membendung penyebaran ajaran Syiah yang mana pada tahun lepas pihak berkuasa turut memberkas empat pengikut ajaran itu yang menganjurkan sambutan hari lahir Fatimah al-Zahra," katanya ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Katanya lagi kerajaan memandang serius tentang ajaran Syiah di mana pada 25 Ogos 2011, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah merampas kira-kira 35,000 buku dan risalah yang dikaitkan dengan penyebaran ajaran tersebut, di Taman Paya Dalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharamkan buku tulisan Murtadha Muthahhari, A Syarafuddin Al-Musawi dan Jalaludin Rakhmat itu, awal bulan ini.