Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Seorang anggota pengganas bernama Sabah Othman mengaku terlibat dalam keganasan di Douma, berhampiran Damsyiq. Beliau turut memainkan peranan meyoal siasat mangsa dalam operasi ganas menculik, menyeksa dan membunuh wanita.
Dalam pengakuannya yang disiarkan di televisyen Syria, Sabah Othman yang berusia 22 tahun berkata, beliau berasal dari Douma, pernah berkahwin ketika berusia 14 tahun dan berpisah dari suaminya tiga tahun lalu.
Beliau pernah bertemu dengan lelaki bernama Ala'a Mahfoud dari Harasta yang ketika itu berpura-pura ingin mengahwininya. Ala'a juga yang memperkenalkannya dengan dua anggota pengganas yang memakai nama Loua'a al-Islam. Setelah diperkenalkan dengan ketua pengganas yang bernama Zahran Alloush, beliau diambil bekerja sebagai penyoal siasat wanita yang diculik.
Sabah berkata, beliau diarahkan supaya memukul mangsa culik yang enggan menjawab pertanyaan daripadanya dan anggota pengganas yang lain.
Tambahnya lagi, pengganas akan menghiris kerongkong mangsa culik dan membuang mayat mereka di samping pusat penyembelihan. Wanita pertama yang disoal siasatnya bernama Samira Assaf, ibu kepada empat anak telah disembelih dan jasadnya dibuang berhampiran pusat penyembelihan di mana tubuhnya dimakan anjing liar. Kekejaman pengganas ini tidak pernah direkodkan.
Mangsa kedua pula bernama Dunya Omar telah ditembak di kepala dan jasadnya dilempar berhampiran kedai jahit, di al-Shifouniye. Sementara wanita ketiga pula bernama Fadya Daher dari Deiz Ezzor. Wanita ini kemudian diserahkan kepada ketua kumpulan untuk diperkosa dan diseksa dengan elektrik sebelum dibunuh.
Katanya lagi, Loua'a al-Islam yang kononnya ingin menikahi beliau itu berwatak baik dan tampil sebagai pemuda yang kuat beragama di hadapan masyarakat sedangkan ia menggunakan dadah dan menculik wanita tanpa rasa belas kasihan atau tanda-tanda penyesalan.
Sahab Othman membuat kesimpulan dengan memberi amaran kepada wanita lain agar tidak menyertai mana-mana kumpulan pengganas kerana mereka boleh bertindak membunuh anggotanya sendiri sekiranya sudah tidak berguna lagi untuk melestarikan jenayah mereka.