Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Fakta terbaru penemuan senjata buatan Sweden mengukuhkan bukti bahawa pihak Barat dengan kerjasama negara-negara rantau telah membekalkan dana, kelengkapan militan serta logistik kepada pengganas yang melakukan kekejaman terhadap rakyat Syria.
Rakaman video yang disiarkan televisyen saluran 2 Sweden menunjukkan salah seorang pengganas membawa senjata anti kereta perisai model Carl Gustav buatan negara tersebut.
Menurut aktivis sosial Sweden, Christopher Cargill Burnett, "Sweden telah menjual senjata jenis ini kepada empat puluh negara di seluruh dunia." Mengenai penemuan senjata tersebut di Syria, beliau mengulas, "Ini menunjukkan kawalan penjualan senjata menurut undang-undang Sweden tidak berkesan kerana ia sudah sampai ke destinasi lain."
Beberapa bulan lalu senjata buatan Sweden sudah dikesan di tangan pemberontak. Ini mengesahkan beberapa negara yang mengimport senjata secara rasmi dari Sweden seperti Arab Saudi, Qatar dan Turki telah membekalkannya kepada pengganas.