18 April 2013 - 08:37
Gerakan anti Syiah di Mesir anjur forum

Ketika Ikhwanul Muslimin, cendiakawan dan majoriti rakyat Mesir sedang sepakat untuk menjalinkan hubungan antara Mesir dan Iran, sebuah kumpulan Salafi yang dipengaruhi Arab Saudi dan Qatar menganjurkan forum agama di berbagai wilayah dengan wacana kesan-kesan penyebaran Syiah akibat hubungan tersebut.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Gerakan anti Syiah di Mesir telah menganjurkan forum dengan tema "Syiah adalah musuh, berwaspadalah!" dengan menampilkan beberapa penceramah seperti Syeikh Muhammad Ibrahim Manshur, Syeikh Husain Abu Khair, Syiekh Muhammad Farid dan Syiekh Sa'ad Zalhaf.

Dalam forum yang berlangsung di Masjid Nurul Iman (Barat Mesir) pada Ahad lalu, Muhammad Ibrahim Manshur yang merupakan bekas anggota Parlimen dan Penggubal Undang-Undang Mesir berkata, "Syiah berada dalam fasa pertama menarik orang awam ke arah mereka dengan propaganda kecintaan dan penderitaan Ahlul Bait, setelah itu mereka akan menerangkan syubhat seperti "Barangsiapa yang mencintai Ahlul Bait akan ke syurga sebaliknya mereka yang tidak cinta Ahlul Bait akan ke neraka".

Manshur turut mengakui keberkesanan pengaruh Syiah dan perkembangannya di Mesir sambil berkata, "Kami sedang memantau ledakan terkini Syiah di berbagai wilayah."

Syeikh Muhammad Farid (guru jurusan hadis Institut Ibnu Taimiyah) dalam forum ini turut menjelaskan bahawa Khomeinisme mempunyai akidah yang aneh. Katanya, "Masalah Tasyayyu' amatlah sukar, bahaya Syiah terlalu besar bagi mereka yang lemah dan tidak mengenali sejarahnya."

Syeikh Sa'ad Zalhaf pula mendakwa, "Syiah ialah mereka yang membunuh Husain! mereka sentiasa mengkhianati umat Islam!".

Di akhir forum, Syiekh Husain Abul Khair mempertikaikan akidah Syiah dengan menayangkan beberapa klip video dan gambar.

Di antara tuduhan yang dilemparkan termasuklah syubhat lama yang telah dijawab oleh ulama. "Syiah beriktikad bahawa al-Quran telah diwahyukan kepada Ali sebelum diturunkan kepada Nabi (s.a.w)," tambahnya lagi.

Gerakan anti Syiah ini melancarkan fitnah mereka apabila Ikhwanul Muslimin, cendiakawan dan majoriti rakyat Mesir sedang sepakat untuk menjalinkan hubungan antara Mesir dan Iran. Kumpulan Salafi yang dipercayai ditaja oleh Saudi dan Qatar giat menganjurkan propaganda demi merosakkan hubungan Kaherah - Tehran.

Sementara itu Hazim Ismail, salah seorang anggota kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Pembela Sahabat telah mengecam Syiah sebagai Majusi. Dalam sebuah debat beliau bersama tokoh Syiah Ahmad Rasim al-Nafis di televisyen Akhir al-Nahar, beliau berkata, "Israel dan Yahudi adalah Ahli Kitab, Nabi Islam menjalinkan hubungan dengan Yahudi dan Kristian, namun tidak dengan Majusi."