Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Ayatullah al-Uzma Jaafar Subhani dalam kuliah Kharij di masjid A'zham 2 hari lalu menerangkan bahawa bid'ah dari perspektif syar'i ialah sebarang perbuatan baharu yang dinisbahkan kepada Allah (s.w.t). Beliau berkata, "Bid'ah ialah amalan yang dinisbahkan kepada Allah (s.w.t), yang mana ia tidak mempunyai asas dalam al-Qur'an dan agama."
Tambahnya lagi, "Pergaulan wanita dan lelaki dalam pesta keramaian di zaman Shah terhitung sebagai perbuatan haram, bukan bid'ah syar'i. Ini disebabkan ia tidak dinisbahkan kepada Allah meskipun secara leksikal dianggap bid'ah dan haram."
Beliau juga menjelaskan bahawa pekerjaan inovasi pula mempunyai asas dalam al-Qur'an dan Islam, serta tidak dianggap bid'ah. "Pengeluaran senjata-senjata selain pedang dan tombak bagi tujuan mempertahankan agama di zaman ini, walau sebesar manapun inovasinya, ia tidak dihitung sebagai bid'ah."
Mengenai kesangsian yang ditimbulkan Ahlusunnah tentang mencium dan bertabarruk dengan makam para imam (a.s), beliau mengingatkan, "Mencium dan bertabaruk dengan makam Ahlul Bait (a.s) tidak sama dengan apa yang dikatakan oleh Ahlusunnah, ia bukanlah bid'ah, ini disebabkan mereka sendiri menukilkan sebuah riwayat bahawa mencintai Rasulullah (s.a.w) merupakan salah satu dari prinsip Islam."
Beliau menambah, "Anak-anak Nabi (s.a.w) pun begitu juga, oleh itu pengikut mazhab Syiah yang mencium makam para maksumin berasaskan akidah tersebut, begitulah cara mereka mencintai Nabi (s.a.w) dan keluarga baginda."
Ayatullah Jaafar Subhani menegaskan, "Sebarang perbuatan yang mengistinbatkan kecintaan terhadap Ahlul Bait (a.s), bukanlah bid'ah, dan kami melaksanakannya."
29 Oktober 2013 - 05:04
News ID: 476346
Salah seorang marja' Syiah berkata, "Mencium dan bertabaruk dengan makam Ahlul Bait (a.s) tidak sama dengan apa yang dikatakan oleh Ahlusunnah, ia bukanlah bid'ah, ini disebabkan mereka sendiri menukilkan sebuah riwayat bahawa mencintai Rasulullah (s.a.w) merupakan salah satu dari prinsip Islam."