Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Selepas mufti Kelantan, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan turut memberikan reaksi terhadap isu terrorisme yang mengancam keselamatan negara. Prof Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Husin menyatakan rasa kesal beliau terhadap rakyat Malaysia yang terpesong dalam memahami erti jihad sehingga sanggup bersabung nyawa untuk mencederakan umat Islam.
Tindakan militan yang disifatkan beliau sebagai dosa itu menurut beliau amat bercanggah dengan ajaran Islam dan hukumnya adalah dosa.
"Kalau kita pergi berjihad mempertahankan agama kita itu baru jihad, tapi kalau kita pergi berjihad dan berperang sesama saudara Islam itu yang salah.
"Ramai yang menyalah erti fahaman jihad itu sendiri, malah kita tidak pasti peperangan itu bertujuan untuk apa," katanya kepada BERNAMA.
Sementara itu campur tangan rakyat Malaysia dalam gerakan militan Wahabi di negara yang bergolak di Timur Tengah itu bukanlah sebuah kewajipan kerana negara berkenaan mempunyai kedaulatan dan pertikaian yang boleh diselesaikan tanpa melibatkan pertumpahan darah.
Pada minggu lalu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mendedahkan lima rakyat Malaysia yang disyaki mempunyai kaitan rapat dengan kumpulan militan dan kini bersembunyi di Selatan Filipina.
Tiga orang daripada mereka dipercayai bersubahat dalam merekrut serta mengatur anggota baru pengganas Malaysia untuk diutus ke Syria bagi menyertai aktiviti keganasan di sana.
Sejak 28 April lalu, pihak polis berjaya menahan 19 orang atas tuduhan militan.
Mengulas lebih lanjut, Abdul Shukor berkata, sebaiknya rakyat Malaysia berusaha membantu menyelesaikan konflik di negara berkenaan secara aman.
"Kita seharusnya menolong mengislahkan mereka, membaikpulihkan keadaan, bukannya kita kena sokong mana-mana pihak dan mengeruhkan lagi suasana dengan berperang," katanya.
Mengenai fitnah yang sentiasa dicanang oleh militan dalam memerangi pengikut mazhab Syiah, beliau berkata penganut Syiah masih dalam kelompok Islam, cuma mereka berbeza dengan fahaman Ahli Sunnah Waljamaah.
Beliau berkata pihaknya masih mengkaji untuk mengeluarkan fatwa rasmi tentang kegiatan militan di luar negara.
Abdul Shukor turut mengesyorkan kepada umat Islam yang ingin menyertai jihad agar melancarkannya di Palestin seperti menyumbangkan tenaga dan kewangan.
9 Julai 2014 - 08:55
News ID: 622624
Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kesal pembabitan rakyat Malaysia dalam kegiatan terrorisme/ Syiah masih berada dalam kelompok Islam