Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Kumpulan pengganas ISIS (Negara Islam Iraq dan Sham) hari ini dilaporkan mempunyai kemampuan memakai kenderaan mewah dan menjamu selera di restoran yang pelanggannya hanya terdiri dari golongan berada.
Media Iraq bebearapa hari lalu memaparkan gambar-gambar yang menunjukkan gaya hidup mewah anggota pengganas ISIS sehingga mengundang kemarahan penduduk Mosul.
Berasaskan laporan ini, anggota pengganas ISIS yang dikatakan sedang membentuk negara Islam tinggal di villa-villa eksklusif sehingga membangkitkan tanda tanya di kalangan penduduk.
Salah seorang penduduk Mosul, Salim Ahmad berkata, "Saya percaya anggota ISIS sedang melalui zaman kegilangannya. Setelah menceroboh Mosul mereka menikmati kehidupan mewah yang hanya dapat dikecapi oleh golongan kaya raya sahaja."
Tegas beliau lagi, "Tidak ada satupun rumah atau harta mewah pegawai politik, hakim mahkamah, atau ketua suku yang masih tertinggal di Mosul untuk dipergunakan oleh anggota ISIS."
Pihak penduduk Mosul juga terkejut dengan kehadiran anggota pengganas yang mengaku warga Iraq di kota ini padahal mereka tidak bertutur dengan bahasa tempatan dan memiliki budaya asing.
Salah seorang penduduk, Yasir Mohsen menambah, "Penyamaran yang dilakukan oleh anggota ISIS tidak menggambarkan gaya hidup penduduk tempatan. Kelakuan mereka amat ganas dan tidak melambangkan ketamadunan tempatan. Sikap mereka bagaikan suku asli padang pasir yang baru masuk pekan."
Peniaga-peniaga Mosul melaporkan kebanyakan anggota ISIS memenuhi pasar-pasar besar kota wilayah ini sedangkan mereka memiliki kekayaan yang luar biasa. Kuasa membeli mereka dikatakan terlalu besar.
Perjanjian syarikat minyak Aramco Saudi dengan ISIS
Seorang penulis dan penganalisa politik Timur Tengah melaporkan terdapat perjanjian dagang minyak syarikat Aramco Saudi dengan kumpulan pengganas yang termeterai.
Nahed Hattar berkata, "ISIS bersama al-Qaeda dan beberapa kumpulan pengganas Salafi lain mempunyai perbezaan. Secara khususnya mereka adalah sebuah rangkaian pengganas di Teluk Parsi atau secara terperincinya adalah Arab Saudi manakala secara umum mereka adalah agensi perisikan Amerika dan Barat. Kumpulan ini mendapat sokongan syarikat-syarikat minyak kerana ISIS mengawal beberapa telaga minyak."
Mengenai kempen Saudi menentang keganasan, beliau berkata kata-kata Saudi dan tindakannya berbeza. Syarikat minyak Aramco Saudi turut menyokong ISIS. Syarikat ini telah memeterai perjanjian untuk membawa masuk minyak dari Iraq dan Saudi dengan harga yang sangat murah. Selain itu negara Turki pula memainkan peranan membekalkan senjata dan lojistik secara langsung kepada ISIS.
Kekayaan alam Iraq yang dibawah kekuasaan pengganas ISIS dilaporkan telah banyak diseludup keluar untuk dijual secara haram.



