27 Ogos 2014 - 22:30
Wanita Malaysia sertai 'Jihad Nikah' di Timur Tengah

Wanita Malaysia dipercayai bergabung dengan pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) untuk menawarkan perkhidmatan seksual, kata pegawai risikan kepada Malaysian Insider.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Pihak berkuasa mengesahkan tiga wanita Malaysia telah menyertai pengganas di Timur Tengah dengan menawarkan perkhidmatan seks kepada anggota ISIS atau dikenali sebagai 'jihad al-nikah'.

Jihad al-nikah merujuk kepada kontroversi hukum perkahwinan seorang wanita dengan anggota-anggota pengganas dalam tempoh singkat secara bergilir-gilir tanpa iddah.

Konsep tersebut berasal dari fahaman Wahhabi sekitar tahun 2013 yang mempengaruhi wanita Sunni untuk menawarkan perkhidmatan seks dan memenuhi keperluan syahwat militan yang berperang dengan Bashar al Assad di Syria.

“Wanita ini dipercayai menawarkan diri mereka untuk melakukan hubungan intim kepada pejuang Isis yang cuba memperkenalkan peraturan Islam di Timur Tengah.

“Konsep ini mungkin kelihatan kontroversi tetapi ia semakin berkembang apabila sesetengah wanita Islam di sini bersimpati dengan kepayahan Isis,” kata seorang pegawai risikan kepada The Malaysian Insider.

Tanpa mendedahkan identitinya, pegawai itu berkata seorang wanita warga Malaysia telah bertolak ke Timur Tengah pada bulan Disember tahun lalu.

“Wanita itu, berusia 30-an, pergi ke Turki sebelum bertemu dengan orang tengah yang membantunya melengkapkan perjalanan ke Syria melalui jalan darat.

“Seorang lagi wanita Malaysia berusia 40-an dipercayai bekerjasama dengan pasukan Isis pada April tahun ini,” kata sumber tersebut.

Menurut pegawai risikan tersebut, selain warga Malaysia terdapat wanita muslim yang lain turut menawarkan perkhidmatan tersebut.

“Pertukaran risikan dengan beberapa negara mendedahkan wanita Islam Sunni dari Australia dan United Kingdom juga menyertai Isis,” katanya.

Pegawai risikan berkata, ISIS mengeluarkan fatwa pada bulan Jun tahun ini untuk pengerahan Jihad al-Nikah atau jihad seksual.

“Sebaik saja selepas bandar Mosul di Iraq ditawan pasukan Isis, orang ramai diarahkan menghantar wanita tidak berkahwin berjihad untuk seks,” dedah pegawai risikan tersebut.

“Dalam pengisytiharannya, Isis mengancam untuk melaksanakan undang-undang syariah terhadap mereka yang gagal mematuhi fatwa itu,” tambah pegawai berkenaan.

Beliau berkata, rakan sejawatannya di Britain mendedahkan lebih 600 umat Islam di British dipercayai menyertai kumpulan pengganas ISIS.

“Jumlah itu termasuk wanita Islam British yang bukan berjuang di barisan hadapan, tetapi masih terbabit dengan melakukan jihad seksual.

“Pegawai risikan Australia mendedahkan lebih 100 wanita Islam Australia berada di Syria berjuang di samping Isis,” tambah pegawai risikan Malaysia.

Walaupun Putrajaya pada mulanya mengumumkan kira-kira 30 rakyat Malaysia bertolak ke Timur Tengah berjuang untuk Isis, tetapi angka itu dipercayai sebenarnya lebih tinggi.

“Pemeriksaan yang dilakukan dengan rakan sejawatan kami di luar negara mendedahkan mungkin jumlah rakyat Malaysia di Timur Tengah mencecah 50 orang,” jelasnya kepada The Malaysian Insider.

Setakat ini, 3 rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh di Syria ketika berperang menentang pasukan Presiden Bashar al Assad.