15 November 2014 - 03:49

Khatib Jumaat di Tehran hari ini berkata, "Tidak ada satupun pusat atom Israel yang aman dari peluru berpandu Iran.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Ayatullah Movahhedi Kermani dalam khutbah Jumaat minggu ini menyentuh tentang pesawat pengintip dan berkata, "Tiga tahun lalu, Iran berjaya merampas sebuah pesawat pengintip Amerika, model RQ170. Tanpa berlengah lagi pakar-pakar kita diarahkan membangunkan sebuah pesawat yang mirip dengannya dan ia telah terbang di ruang udara tentara Pasdaran dan ianya merupakan satu pukulan keras kepada Amerika."

"Rekacipta pesawat ini cukup membuatkan Amerika mengidap serangan jantung mereka yang sudah pun cacat. Asalnya pesawat ini tidak luput dari liputan radar, namun Iran berjaya menyelesaikan masalah ini.

"Dalam rancangan, empat pesawat lain dari model ini akan dibangunkan dan pengeluarannya secara besar-besaran akan dilaksanakan pada tahun depan," ujar beliau.

Sambil mengingatkan perkataan Amerika bahawa Iran tidak mempunyai jurutera yang mampu meniru, beliau berkata, "Sekarang Amerika cukup hairan dengan kudrat teknologi Iran."

Menyentuh tentang peluru berpandu balistik Sijjil, beliau berkata, "Peluru berpandu ini mampu menjangkau seluruh kawasan rejim Zionis dan pengkalan Amerika di rantau ini di samping menjadikannya hancur laksana padang jarak padang terkukur."

Tambah beliau lagi, "Bumbung besi Israel tidak mampu bertahan dalam menghadapi peluru berpandu ini, dan semua ini adalah berkat revolusi Republik Islam Iran yang gagah perkasa.

"Sebaik sahaja peluru berpandu ini berlepas dari bumi, kelajuannya ke arah sasaran mencapai 16 ribu kaliganda kecepatan gelombang suara yang mana tidak ada satupun kuasa pertahanan dapat melihatnya. Semua ini adalah kelengkapan pertahanan dan tujuannya ialah pencegahan.

"Pertahanan adalah hak Muslim bagi setiap negara dan kemanusiaan. Sekiranya pada satu hari rejim Israel menjadi tidak waras dan cuba menyerang Iran, maka Tel Aviv dan Haifa akan menjadi padang jarak padang terkukur dengan peluru berpandu balistik Sijjil sebagaimana yang dibicarakan oleh Rahbar," tegas beliau.

Ayatullah Kermani menegaskan bahawa bahasa ancaman dan paksaan ke atas sebuah negara seperti Iran merupakan wacana yang tidak waras. Kata beliau, "Tidak ada satu jalan pun bagi pihak lawan melainkan rundingan serantau dalam suasana saling menghormati. Iran tidak akan berundur dari pengayaan uranium dan tidak akan cuai dalam hak Muslimnya bagi memiliki tenaga Nuklear. Seluruh rakyat Iran mempunyai kehendak serius dan kuat dan kehendak ini amat masyhur pada anggota jawatankuasa perunding nuklear Iran."

Berkenaan dengan Menteri Telekomunikasi rejim Zionis, beliau berkata, "Menteri Telekomunikasi berkata kepada rejim Zionis, bahawa saya telah berbicara dengan seluruh anggota 5+1, mereka yakin bahawa Iran akan berhenti dari kegiatan pengayaan uranium dan terpaksa menggantung reaktor air berat di Arak. Namun mereka berkata semua ini juga mustahil."

Berkata kepada Obama, beliau bertegas, "Daripada menulis surat, Obama sepatutnya menunjukkan niat murninya. Hingga kini dakwat suratnya masih belum kering, dia sudah mengarahkan dasar 'situasi bahaya Iran' dilanjutkan. Amerika tahu, dalam menghadapi ISIS, ia tidak boleh mengabaikan kekuatan Iran."

Sambil mengucapkan kesyukuran kepada Allah bahawa Amerika sedar tentang kekuatan Iran, beliau menambah, "Amerika berkata, dengan sekatan-sekatan, Iran akan terseret ke meja rundingan, namun ia tersilap, Iran masih bersedia untuk rundingan sehingga dunia faham bahawa Amerika adalah pendusta dan terbukti anda adalah pengkhianat dengan menyekat harta benda Iran. Dengan sekatan-sekatan, terbuktilah identiti kezalimannya di mata dunia, orang yang waras serta pejuang keamanan global."

"Obama dan Kerry berkata, tiada kesepakatan lebih baik dari kesepakatan yang negatif, maka kita juga ingin berkata bahawa tiada kesepakatan lebih baik dari menerima pembulian dan menanggung beban kezaliman Amerika.

"Sekiranya ia ingin berganding tangan demi mencari rekod hak asasi manusia, sepatutnya ia pergi ke Gaza dan lihat apa yang menimpa penduduk Palestin, mendengar keluhan anak-anak perempuan sekolah rendah Syria dan melihat darah rakan sekelas darjah mereka tumpah akibat jenayah kumpulan-kumpulan Takfiri," tutur beliau.

Beliau turut menyentuh masalah Syria dan berkata, "Pemberontak Syria sudah tiba di jalan buntu, sehinggakan pemimpin lama pemberontak mengumumkan bahawa mereka bersedia berunding dengan kerajaan Syria dan mengaku telah melakukan kesilapan sebelum ini."

Mengenai insiden terbaru di Masjidil Aqsa, Ayatullah Movahhedi Kermani berkata, "Beberapa hari lalu kita menyaksikan rejim Zionis menggempur kiblat pertama umat Islam. Kita minta seluruh dunia Islam agar bangkit menghadapi konspirasi ini dan jangan duduk membisu."

Di akhir khutbah ini, beliau menceritakan masalah Bahrain, "Pilihanraya parlimen hanyalah panggung sandiwara, kita nasihatkan warga Bahrain agar tidak menyertai pilihanraya ini."