18 Februari 2016 - 16:22
Polis Indonesia bimbang IS guna sianida

Pasukan keselamatan Indonesia diberi amaran kemungkinan militan IS menggunakan sianida untuk meracun makanan di negara itu.

JAKARTA: Pasukan keselamatan Indonesia diberi amaran kemungkinan militan IS menggunakan sianida untuk meracun makanan di negara itu, kata Menteri Keselamatannya, hari ini. IS, yang diharamkan di banyak negara, termasuk Amerika Syarikat dan Russia, disyaki merancang keganasan di negara itu sejak mendakwa bertanggungjawab melancarkan serangan di ibu kota itu, 14 Januari lalu.

"Kini, ia menggunakan sianida untuk menakutkan rakyat. Mereka menggunakan sianida untuk meracun makanan," kata Luhut Pandjaitan, dipetik akhbar International Business Times.

Luhut berkata, pasukan keselamatan negara itu diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan amaran terbabit. Pada tahun 2012, seorang lelaki Indonesia ditangkap berhubung komplot meracun polis menggunakan cili yang dicemari sianida.

Suspek ditahan bersama rakan subahat ketika cuba mencampurkan racun ke dalam bekas cili yang dijual di gerai di luar balai polis di tengah ibu kota negara itu. -AGENSI