30 September 2016 - 14:08
Hamas Kecam Abbas Kerana Hadiri Upacara Pengebumian Peres

Hamas membidas Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmoud Abbas kerana menyertai majlis pengebumian bekas Presiden Israel Shimon Peres pada hari ini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Hamas membidas Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmoud Abbas kerana menyertai majlis pengebumian bekas Presiden Israel, Shimon Peres pada hari ini.

Abbas telah mengetuai delegasi Palestin pada hari Jumaat di dalam upacara itu. Antara yang turut menyertai beliau adalah Ketua Perunding PA iaitu Sa'eb Erekat. Sebelum itu beliau dan delegasinya telah memperolehi kebenaran daripada Nentanyahu untuk memasuki kawasan yang diduduki oleh rejim Israel di dalam rangka untuk menyertai majlis itu.

Upacara itu turut menyaksikan Abbas dan Nentanyahu saling bersalaman dan dalam majlis yang sama, Presiden PA itu juga turut menyampaikan takziahnya kepada keluarga Peres.

Hamas sebelumnya telah mendesak Abbas untuk tidak menyertai program tersebut kerana khuatir tindakan itu akan menggalakkan para pemimpin Arab lain untuk menormalisasikan hubungan mereka dengan rejim haram tersebut sekaligus menyukarkan usaha pihak-pihak di Palestin untuk mencapai perpaduan di kalangan mereka sendiri. Perpaduan di kalangan pemimpin Palestin adalah diperlukan untuk memudahkan usaha mereka di dalam merampas kembali hak penduduk Palestin yang selama ini telah diambil oleh Israel.

Hamas dipetik berkata, "kami mengecam ucapan takziah Abbas berikutan kematian Peres dan menganggapnya sebagai sikap tidak acuh (beliau) terhadap darah para pejuang dan juga terhadap penderitaan yang di alami oleh penduduk Palestin secara amnya."

Sebelum itu, Presiden PA itu juga dikritik kerana menganggap Peres sebagai sahabat yang berani di dalam mencapai kedamaian memandangkan Peres lebih diingati di Palestin sebagai seorang penjenayah perang yang telah membunuh ribuan rakyat awam Palestin dan Lubnan.

Pemimpin Israel itu telah diumumkan mati pada hari Rabu lepas di Pusat Kesihatan Sheba setelah diserang angin ahmar dua minggu sebelumnya.