11 November 2016 - 04:36
Serangan Udara A.S Bunuh Ribuan Manusia Bukan 64 Orang Sahaja: Sumber MoD Rusia.

Menurut sumber Kementerian Pertahanan Rusia, A.S telah mengecilkan angka jumlah korban awam berikutan serangan udara Tentera Udara A.S ke atas Syria dan Iraq.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menurut sumber Kementerian Pertahanan Rusia, A.S telah mengecilkan angka jumlah korban awam berikutan serangan udara Tentera Udara A.S ke atas Syria dan Iraq. Sumber itu dipetik ketika memberi komen terhadap kenyataan yang dibuat oleh jurucakap Pusat Perintah A.S (USCENTCOM), John Thomas.

Menurut Thomas, hanya 64 orang terbunuh manakala 8 lagi dilaporkan cedera di dalam serangan udara A.S di Syria dan Iraq sepanjang November 2015 hingga September 2016.

"Kenyataan sedemikian yang dibuat oleh wakil USCENTCOM menunjukkan bahawa Pentagon tidak menganggap ribuan lagi yang terbunuh di Iraq dan Syria kerana serangan udara A.S sebagai 'manusia'," kata sumber tersebut.

Menurut sumber itu, A.S membuat 20 serangan setiap hari di kedua-dua negara Arab itu.

"Di Syria dan Iraq, pesawat A.S melancarkan misi serangan udara sebanyak 20 kali sehari. Pada tahun lepas, sebanyak 7300 serangan udara dilaporkan. Kebanyakan misi ini dilancarkan dengan menggunakan pesawat pengebom strategik, B-1B dan B-52N," kata sumber itu.

Sumber itu juga berkata bahawa 62 orang tentera Syria juga pernah dibunuh oleh A.S di dalam seuah insiden yang menggemparkan dunia di Deir ez-Zor. "Mereka ini bukan pengganas ataupun musuh Tentera Udara A.S, tetapi malangnya mereka semua tidak dimasukkan di dalam senarai tersebut," tambahnya lagi.

Tindakan A.S yang mengebom kedudukan Tentera Arab Syria di kawasan itu menyebabkan kumpulan pengganas Takfiri berjaya merampas kedudukan tentera kerajaan buat sementara waktu sekaligus mencetuskan kemarahan Syria dan masyarakat dunia.