12 November 2016 - 16:47
Perkhidmatan Keselamatan Rusia Tangkap Pengganas Yang Mahu Lancarkan Serangan Di Moscow Dan St. Petersburg.

Pihak keselamatan Rusia telah menggagalkan sebuah plot pengganas untuk meletupkan beberapa sasaran di Moscow dan St. Petersburg.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pihak keselamatan Rusia telah menggagalkan sebuah plot pengganas untuk meletupkan beberapa sasaran di Moscow dan St. Petersburg.

Di dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan oleh Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB), seramai 10 orang pengganas sudah ditangkap berikutan sebuah operasi yang dilancarkan pada 12 November di St. Petersburg dan Moscow. FSB juga menemui 4 buah bom buatan sendiri yang berkuasa tinggi di dalam serbuan tersebut.

Para suspek yang ditahan dikatakan berasal dari Asia Tengah dan penangkapan itu dibuat dengan kerjasama pihak berkuasa Tajikistan dan Kyrgyzstan.

"Para suspek telah mengaku mempunyai hubungan dengan para pemimpin daripada kumpulan pengganas ISIS yang berpusat di Timur Tengah," tulis laporan itu.

Di dalam laporan tersebut, para suspek juga membekalkan maklumat tentang lokasi sasaran, senarai nama rakan subahat dan juga bantuan yang mereka terima dari dalam dan luar Rusia.

Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan juga berkata bahawa para suspek merangka untuk melancarkan beberapa siri serangan bersenjata dan pengeboman ke atas dua bandar terbesar Rusia sambil memfokuskan kawasan yang padat dengan orang awam.