Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Bakal Presiden Amerika Syarikat yang baharu, Donald Trump berkata bahawa parti Demokrat banyak membuat "bising" berkaitan isu penggodaman Rusia ke atas pertubuhan-pertubuhan politik di negara itu -dalam rangka untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya 2016 A.S- kerana mereka malu dengan keputusan pilihan raya tersebut.
Trump membuat kenyataan itu di dalam beberapa mesej yang dimuatnaik ke laman sosialnya. Perkara itu dibuat selepas komuniti perisikan A.S mengeluarkan laporan yang mendakwa kerajaan Rusia mengarahkan para penggodam untuk menyasarkan beberapa pertubuhan di dalam Parti Demokrat untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya tersebut.
Trump juga berkata bahawa tidak terdapat bukti yang kukuh untuk menunjukkan bahawa penggodaman itu berjaya mempengaruhi keputusan pilihan raya presiden yang lepas.
"Pihak perisikan menekankan dengan jelas bahawa penggodaman itu tidak mempengaruhi keputusan pilihan raya itu. Mesin pengundian tidak tersentuh," tulis beliau.