Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Iran, Hasan Rouhani mengarahkan siasatan segera berikutan tragedi runtuhan bangunan Plasco yang berlaku di Tehran pada hari Khamis.
Presiden Rouhani juga telah menugaskan Kementerian Dalam Negeri untuk segera menyiasat punca tragedi yang mengejutkan warga Iran secara keseluruhannya.
"Punca tragedi dan mereka yang terlibat perlu dikenalpasti dan dilaporkan secepat mungkin. Selain daripada itu, setiap langkah yang sesuai, perlu diambil oleh semua pihak yang terbabit untuk merawat mereka yang cedera di samping membayar ganti rugi ke atas kerugian yang dilaporkan akibat tragedi itu," kata beliau.
Timbalan Presiden Es'haq Jahangiri dan Menteri Kesihatan Hassan Ghazizadeh juga dilaporkan telah melawat kawasan tragedi.
'Litar Elektrik Punca Kebakaran'
Sementara itu, Mohsen Hamedani, seorang pegawai keselamatan di dalam Pejabat Am Gabenor berkata bahawa siasatan awal menunjukkan bahawa kebakaran itu disebabkan oleh litar pintas yang tercetus di dalam sistem pendawaian bangunan itu.
Bangunan itu runtuh pada jam 11.30 pagi waktu tempatan dan detik-detik keruntuhan bangunan itu disiarkan secara langsung oleh stesyen-stesyen televisyen Iran.
Bangunan itu dirasmikan pada tahun 1962 dan dinamakan sempena nama sebuah syarikat pengeluar plastik.
Plasco adalah bangunan tertinggi di bandar itu pada ketika pembinaannya. Bangunan itu mengandungi pusat membeli-belah dan juga bengkel-bengkel baju.