21 Januari 2017 - 18:28
Khuatir Ditahan, Bekas Menteri Luar Rejim Zionis Batal Lawatan Ke Belgium

Bekas Menteri Luar Israel, Tzipi Livni telah membatalkan rancangannya untuk melawat Belgium kerana khuatir akan ditahan dan disoal siasat berkaitan isu jenayah perang oleh pihak berkuasa di Brussels.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Bekas Menteri Luar Israel, Tzipi Livni telah membatalkan rancangannya untuk melawat Belgium kerana khuatir akan ditahan dan disoal siasat berkaitan isu jenayah perang oleh pihak berkuasa di Brussels.

Livni yang pada masa ini merupakan salah seorang daripada ahli parlimen rejim Zionis, sebelum ini merancang untuk melawat Brussels pada hari Isnin. Akan tetapi, dia mengambil keputusan untuk membatalkan lawatan itu kerana berhadapan dengan kemungkinan ditahan dan disoal siasat berkaitan jenayah perang yang dilakukan ketika rejim itu melancarkan serangannya ke atas Semenanjung Gaza.

Kementerian Kehakiman Belgium sebelum ini berkata bahawa dia akan ditahan dan disoal siasat sejurus tiba di Brussels. Seorang jurucakap kepada Pendakwaraya Persekutuan Belgium, Thierry Werts juga berkata, "Kami mahu mengambil kesempatan ke atas lawatannya untuk mempercepatkan siasatan tersebut." Serangan rejim Zionis itu dilancarkan ke Gaza di penghujung tahun 2008 dan tamat pada awal tahun 2009.

Siasatan itu dilaporkan dilancarkan susulan daripada sebuah aduan yang difailkan pada Julai 2010. Dia dinamakan bersama dengan beberapa pegawai pentadbiran dan ketenteraan rejim Zionis oleh pengadu berikutan penglibatan mereka di dalam jenayah perang tersebut yang membunuh sekitar 1400 warga Palestin. Kebanyakan mangsa adalah warga awam.