22 Januari 2017 - 18:51
Pihak Pembangkang Syria Tiba Di Astana Untuk DIalog

Pihak pembangkang dilaporkan telah tiba di Astana, Kazakhstan untuk menyertai dialog dalaman Syria yang dijangkakan akan bermula pada keesokan hari (23/1).

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pihak pembangkang dilaporkan telah tiba di Astana, Kazakhstan untuk menyertai dialog dalaman Syria yang dijangkakan akan bermula pada keesokan hari (23/1).

"Perwakilan daripada pihak pembangkang Syria telah tiba di Astana," kata sebuah sumber kepada agensi berita Tass pada hari Ahad.

Dilaporkan bahawa delegasi daripada kumpulan pembangkang itu terdiri daripada beberapa wakil kumpulan bersenjata yang aktif di Syria. Mereka sebelum ini telahpun menyertai perjanjian gencatan senjata yang diumumkan oleh kerajaan Assad pada 29 DIsember lalu. Akan tetapi, kumpulan parti politik daripada blok pembangkang dikatakan tidak akan menyertai dialog tersebut.

Delegasi dari Rusia, Turki, Iran dan juga wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria, Saffan de Mistura juga telah tiba lebih awal untuk menyertai mesyuarat tersebut.

Dialog Astana dijangka akan mengambil kira beberapa isu seperti penguatkuasaan gencatan senjata sedia ada, peperangan melawan pengganas dan juga pencariaan solusi politik untuk mengakhiri konflik berdarah di Syria. 

Sebelum ini, beberapa siri dialog telah dilaksanakan dengan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mencapai objektif yang sama. PBB juga telah melantik wakil khas berkaitan isu Syria untuk mempermudahkan proses damai di sana dan setakat ini 3 buah dialog berasingan telah dianjurkan oleh badan itu. Akan tetapi, kesemua dialog itu gagal membuahkan hasil yang dikehendaki. 

Konflik di Syria bermula pada tahun 2011 apabila kumpulan bersenjata yang didanai oleh kerajaan asing memulakan operasi bersenjata mereka di bumi tersebut.