28 April 2017 - 07:39
Rusia Dan Iran Kecam Serangan Israel Ke Atas Lapangan Terbang Syria

Iran dan Rusia telah mengecam tindakan rejim Israel menyerang sebuah lapangan terbang utama di Syria sambil menganggapnya sebagai sebuah tindakan kekerasan dan pencabulan terang-terangan ke atas kedaulatan negara Arab itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Iran dan Rusia telah mengecam tindakan rejim Israel menyerang sebuah lapangan terbang utama di Syria sambil menganggapnya sebagai sebuah tindakan kekerasan dan pencabulan terang-terangan ke atas kedaulatan negara Arab itu.

Menteri Pertahanan Iran, Brigadier Jeneral Hossein Dehqan mengecam serangan yang dilancarkan pada hari Khamis itu. Serangan itu mengenai sebuah kawasan yang terletak berhampiran lapangan terbang antarabangsa di Damsyik. Dehqan berkata tindakan kekerasan itu selari dengan polisi Israel untuk membantu para pengganas yang memerangi kerajaan Syria.

"Pada pendapat saya, operasi sedemikian membantu para pengganas," kata Dehqan yang sedang melawat Rusia. Beliau kemudiannya menambah dengan berkata tindakan rejim Israel itu bertujuan untuk menjejaskan perolehan tentera Arab Syria dalam peperangan mereka ke atas keganasan.

"Apabila keadaan menjadi teruk bagi para pengganas, serangan (rejim) akan menyusuli, sekaligus membawa mesej; 'Kami bersama kalian, jadi jangan risau dan jikalau perlu kami akan melakukan campur tangan," kata Dehqan.

Serangan sedemikian menurutnya bertujuan untuk memastikan kelanjutan hayat kumpulan pengganas di Syria.

Rusia yang turut membantu Damsyik di dalam operasi anti-keganasan mereka turut mengecam serangan tersebut dan menyifatkannya sebagai sebuah tindakan kekerasan dan pencabulan ke atas kedaulatan negara anggota PBB.

/315