7 Mei 2017 - 14:45
Kelalaian Pengundi Akan Merugikan Negara: Ayatullah Khamenei

Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam, Ayatullah Khamenei berkata bahawa sebarang kelalaian dari pihak pengundi di dalam pilihan raya di Iran pada bulan ini akan merugikan negara tersebut sekaligus menggesa mereka untuk turun beramai-ramai dalam rangka mengecewakan pihak musuh.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam, Ayatullah Khamenei berkata bahawa sebarang kelalaian dari pihak pengundi di dalam pilihan raya di Iran pada bulan ini akan merugikan negara tersebut sekaligus menggesa mereka untuk turun beramai-ramai dalam rangka mengecewakan pihak musuh.

"Satu-satunya perkara yang mengekang para musuh daripada menunjukkan permusuhan mereka adalah kehadiran rakyat jelata di lapangan. Ini kerana kemegahan sebuah negara dengan 80 juta rakyat jelata yang kuat, cerdik dan jutaan belia (di kalangan mereka) akan menimbulkan rasa takut di hati-hati musuh," kata beliau pada hari Ahad.

"Jika kita mahukan kemegahan dan kedaulatan Republik Islam terus kekal dan imunitinya (terhadap rencana para musuh) pula terus lestari, kesemua pihak perlu turut serta di dalam pilihan raya ini," kata beliau kepada sekumpulan tenaga pengajar dan pelajar di Tehran.

Warga Iran akan pergi ke pusat-pusat pembuangan undi pada 19 Mei untuk memilih presiden baharu mereka. Sekitar 50 juta warga negara itu dilaporkan layak untuk mengundi.

"Jika berlaku kelalaian..., negara ini pasti akan menyaksikan kerugian dan setiap orang yang terlibat di dalam kerosakan ini akan bertanggungjawab di hadapan Tuhan," kata beliau lagi.

Ayatullah Khamenei berkata bahawa para pengundi bebas untuk memilih calon mereka sendiri.

"Isu utama dan yang paling penting ialah rakyat jelata hadir di pusat pengundian dalam rangka menunjukkan (kepada dunia) bahawa mereka bersedia untuk mempertahankan Islam, sistem pemerintahan Iran dan juga imuniti (negara ini terhadap rancangan musuh)." -ABNA24

/315