26 Mei 2017 - 19:21
Tegang: Situasi Panas Selubungi Marawi

Pertempuran sengit tercetus antara tentera Filipina dan kumpulan militan di Marawi, semalam selepas kumpulan militan yang dikaitkan dengan Daesh membakar bangunan termasuk sekolah dan menjadikan beberapa penganut Katolik sebagai tebusan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pertempuran sengit tercetus antara tentera Filipina dan kumpulan militan di Marawi, semalam selepas kumpulan militan yang dikaitkan dengan Daesh membakar bangunan termasuk sekolah dan menjadikan beberapa penganut Katolik sebagai tebusan.

Media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya 11 orang awam maut dalam insiden itu.

Dua helikopter dilihat berlegar-legar dan beberapa kereta kebal turut berada di jalan utama di sekitar bandar selatan tersebut susulan insiden serangan dilancarkan kira-kira 100 lelaki bersenjata yang menyatakan taat setia kepada Daesh dan menggelarkan diri mereka sebagai Maute, lewat Selasa lalu.

Sekurang-kurangnya 20 terbunuh dan seorang ketua polis dipenggal selepas tentera menyerbu tempat persembunyian pemimpin Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon yang disenaraikan sebagai individu paling dikehendaki oleh Amerika Syarikat selain menawarkan ganjaran AS$5 juta (RM21 juta).

Susulan kejadian itu, Presiden Rodrigo Duterte mengisytiharkan undang-undang tentera di seluruh wilayah selatan yang mempunyai populasi 22 juta penduduk dan memberi amaran ia mungkin akan diperluaskan ke seluruh negara jika situasi semakin tegang.

Ribuan penduduk juga mula meninggalkan bandar bergolak tersebut. - Agensi