5 Jun 2017 - 05:49
Arab Saudi, UAE, Mesir Dan Bahrain Putuskan Hubungan Dengan Qatar

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir telah memutuskan hubungan diplomatik mereka di pelbagai peringkat dengan Qatar sambil menuduh bahawa negara Teluk Parsi itu menyokong keganasan dan melakukan campur tangan di dalam urusan dalaman mereka.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir telah memutuskan hubungan diplomatik mereka di pelbagai peringkat dengan Qatar sambil menuduh bahawa negara Teluk Parsi itu menyokong keganasan dan melakukan campur tangan di dalam urusan dalaman mereka.

Riyadh adalah negara pertama yang memutuskan hubungan mereka dengan Doha pada hari Isnin sambil menggesa negara-negara bersaudara untuk melakukan perkara yang sama.

Kerajaan monarki mutlak itu berkata bahawa keputusan itu dibuat berdasarkan hak mereka untuk mengamalkan konsep kedaulatan negara itu yang dijamin oleh undang-undang antara bangsa. Mereka juga mendakwa bahawa algnkah itu diambil untuk mempertahankan keselamatan negara mereka daripada unsur-unsur keganasan dan ekstremisme.

UAE pula memberi masa selama 48 jam kepada para diplomat Qatar untuk meninggalkan negara tersebut sambil mendakwa mereka menyokong dan mendanai keganasan, ekstremisme dan pertubuhan bersifat sektarian.

Agensi berita Bahrain pula mendakwa bahawa Manama mengambil keputusan yang sama kerana tindakan Doha yang berterusan menganggu keselamatan dan kestabilan Bahrain serta mencampuri urusan dalaman mereka.

Mesir pula membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Qatar setelah mendakwa bahawa Doha menyokong kumpulan Ikhwannul Muslimin yang ditekan oleh kerajaan Presiden Sisi.

Ketegangan di antara Riyadh dan Doha tercetus selepas sebuah artikel yang menukilkan kritikan pemerintah Qatar ke atas Amerika Syarikat dan Arab Saudi dan negara-negara sekutu mereka yang cuba untuk menimbulkan ketegangan dengan 'kuasa Islam' iaitu negara Iran. -ABNA24

/315