6 September 2017 - 12:59
Penindasan Orang Islam Myanmar Makin Melarat, Kata Pertubuhan Hak Asasi

Penindasan sistematik terhadap minoriti Islam sedang makin melarat di serata Myanmar dan tidak hanya berlaku di negeri Rakhine, di mana keganasan baru-baru ini menyebabkan hampir 90,000 orang Islam Rohingya melarikan diri, kata pertubuhan hak asasi di Myanmar hari ini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Penindasan sistematik terhadap minoriti Islam sedang makin melarat di serata Myanmar dan tidak hanya berlaku di negeri Rakhine, di mana keganasan baru-baru ini menyebabkan hampir 90,000 orang Islam Rohingya melarikan diri, kata pertubuhan hak asasi di Myanmar hari ini.

Burma Human Rights Network berkata penindasan itu disokong kerajaan, golongan tertentu dalam kalangan sami Buddha di negara itu, dan kumpulan ultra-nasionalis.

“Perubahan kepada demokrasi membolehkan prejudis popular mempengaruhi cara kerajaan baharu memerintah, dan memperkasakan naratif berbahaya yang orang Islam adalah orang asing di Burma yang majoritinya pengikut Buddha,” kata pertubuhan itu dalam satu laporan.

Laporan itu berdasarkan lebih 350 temu bual di lebih 46 pekan dan perkampungan dalam tempoh lebih 8 bulan sejak Mac 2016.

Kerajaan Myanmar tidak memberikan respons segera atas laporan itu. Pihak berkuasa menafikan diskriminasi dan berkata pasukan keselamatan di Rakhine sedang bertempur dengan “pengganas”.

Selain orang Islam Rohingya, laporan itu juga mengkaji gambaran lebih luas mengenai orang Islam daripada etnik berbeza seluruh Myanmar ekoran gelombang keganasan komunal pada 2012 dan 2013.

Laporan itu mengatakan ramai orang Islam daripada semua etnik tidak diberikan kad pengenalan, dan dihalang memasuki rumah ibadat di beberapa tempat.

Sekurang-kurangnya 21 perkampungan serata Myanmar diisytihar sebagai “zon larangan” untuk orang Islam, dan tindakan itu disokong pihak berkuasa, menurut laporan itu.

Di Rakhine, laporan itu mengetengahkan pemisahan yang semakin menjadi-jadi antara komuniti Buddha dan Islam. Sekatan jalan ke atas orang Islam Rohingya juga makin serius dan mengehadkan akses kepada rawatan kesihatan dan pendidikan.

Ribuan orang Rohingya lari ke Bangladesh sejak 25 Ogos, apabila militan Rohingya menyerang pondok polis dan pengkalan tentera. Pertempuran itu dan serangan balas tentera selepas itu membunuh sekurang-kurangnya 400 orang.

Layanan ke atas lebih kurang 1.1 juta penduduk Rohingya adalah cabaran terbesar pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi yang dikritik kerana tidak cukup berusaha melindungi minoriti Islam daripada penyeksaan.

Berdasarkan laman webnya, Burma Human Rights Network yang beroperasi dari London menyertai komuniti antarabangsa memperjuangkan hak asasi manusia di Myanmar sejak 2012.  -Reuters