7 September 2017 - 17:04
Menteri Luar Iran Gesa Tindakan Pantas Berhubung Isu Rohingya

Menteri Luar Iran mengkritik masyarakat antarabangsa kerana berdiam diri di atas keganasan yang berlaku ke atas umat Islam Rohingya di Myanmar sekaligus menggesa mereka untuk bertindak pantas di dalam menamatkan tragedi pembunuhan beramai-ramai di negara Asia Tenggara itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menteri Luar Iran mengkritik masyarakat antarabangsa kerana berdiam diri di atas keganasan yang berlaku ke atas umat Islam Rohingya di Myanmar sekaligus menggesa mereka untuk bertindak pantas di dalam menamatkan tragedi pembunuhan beramai-ramai di negara Asia Tenggara itu.

"Masyarakat antarabangsa tidak mempunyai alasan untuk membiarkan pembunuhan umat Islam Rohingya terus berlaku di hadapan mata kita sendiri," kata Mohammad Javad Zarif pada hari Khamis.

Beliau seterusnya menuntut tindakan segera untuk memperbaiki nasib etnik Rohingya dengan berkata, "Kita mesti bertindak sekarang sebelum terlambat."

Pasukan keselamatan Myanmar mula menyerang etnik Rohingya dan menghancurkan rumah kediaman mereka sejak tahun 2016 dalam usaha untuk menghalau keluar kaum itu dari negeri Rakhine yang terletak di barat negara tersebut.

Tindakan kekerasan ke atas etnik itu menjadi semakin parah sejak 25 Ogos lalu susulan insiden yang didakwa oleh pihak berkuasa Myanmar sebagai serangan bersenjata ke atas pos kawalan polis dan tentera di negeri Rakhine.

Etnik Rohingya berada di bawah keganasan komunal yang dilancarkan oleh pihak pelampau Buddha selama beberapa tahun ini sekaligus memaksa mereka untuk mencari suaka di Bangladesh dan beberapa negara jiran yang lain.

Pemimpin de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi yang pernah memengani Anugerah Nobel Keamanan kini menjadi subjek kecaman antarabangsa kerana kegagalannya untuk melindungi puak minoriti Islam yang berada di negaranya daripada penindasan dan penganiayaan.

Suu Kyi pada hari Rabu mendakwa bahawa terdapat banyak informasi yang salah berlegar di seluruh dunia berhubung dengan situasi yang berlaku di negeri barat Myanmar itu.

Iran hantar bantuan kepada etnik Rohingya

Sementara itu Persatuan Bulan Sabit Merah Iran pada hari Khamis mengatakan bahawa mereka telahpun membentuk sebuah kumpulan kerja yang akan membantu umat Islam Myanmar sesuai dengan perintah Presiden Negara Islam itu, Hassan Rouhani.

Jurucakap pertubuhan itu, Hamid Jamaloddini berkata penghantaran bahawa barang bantuan yang kritikal dan bekalan perubatan sudahpun siap untuk dihantar ke Myanmar.

Pegawai Iran itu selanjutnya menyatakan bahawa mereka telahpun memaklumkan pertubuhan Palang Merah Antarabangsa berhubung kesediaan pertubuhan Iran itu untuk menyediakan kediaman bagi etnik Rohingya yang amat memerlukannya.

Basij kecam kekejaman yang dilakukan terhadap etnik Rohingya

Sebuah pertubuhan yang berasal dari Iran bagi Pengerahan Kaum Tertindas (Basij) juga telah mengeluarkan kenyataannya pada hari Khamis. Mereka di dalam kenyataan itu mengutuk jenayah yang sedang berlaku ke atas umat Islam Myanmar dan "sikap berdiam diri yang memalukan daripada pihak yang mendakwa diri mereka sebagai pembela hak asasi manusia."

"Sekali lagi dunia menyaksikan pembunuhan beramai-ramai yang kejam dan tidak berperikemanusiaan ke atas kaum Muslim di negara Myanmar di sebalik dakwaan palsu dan menipu dunia Barat bahawa mereka melindungi hak asasi manusia," baca kenyataan itu.

Rakhine yang didiami penduduk Islam kini menjadi medan bagi "salah satu jenayah yang paling kejam terhadap kemanusiaan," katanya.-ABNA24

/315