Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Penulis terkemuka, Mustafa Akyol meninggalkan Malaysia dengan cara VIP susulan campur tangan personaliti terkenal di Turki serta Malaysia, jauh berbeza dengan layanan beliau terima ketika ditahan pihak berkuasa agama.
Antara nama yang dimaklumkan kepada FMT termasuk bekas presiden Turki, Abdullah Gul, yang dipercayai menghubungi personaliti penting di Malaysia, selepas penahanan Akyol di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Isnin lalu.
Akyol sendiri mengesahkan perkara itu di Twitternya semalam, beberapa jam selepas tiba di Boston, Amerika Syarikat, di mana beliau ialah seorang pensyarah di Universiti Denver.
“Saya amat bersyukur kepada bekas presiden Turki, Abdullah Gul atas peranan pentingnya dalam pembebasan saya daripada ditahan di Malaysia,” kata kolumnis New York Times itu, yang berada di Malaysia minggu lalu untuk siri ceramah anjuran Islamic Renaissance Front (IRF).
Gul, bekas menteri luar yang dilantik sebagai presiden Turki ke-11, terkenal dengan peranannya menyingkirkan kuasa tentera daripada politik negara itu.
Beliau ialah seorang daripada pengasas Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), tetapi berhati-hati dalam tidak menyokong penggantinya, Recep Tayyip Erdogan, di mana kerajaan pimpinannya menahan pengkritiknya selepas kegagalan rampasan kuasa tahun lalu.
Susulan pembebasannya, berita mengenai penahanan Akyol di Malaysia tersebar dengan cepat di kalangan pengguna media sosial Turki dan menjadi perbualan hangat selama 6 jam.
“Saya berharap insiden ‘trending’ itu dapat membantu memulakan beberapa perbincangan peringkat nasional di Malaysia mengenai ‘polis penguatkuasaan agama’,” katanya yang lantang mengkritik kebebasan bersuara di negara Islam.
Antara mereka yang hadir untuk menghantar Akyol berlepas dari Malaysia pada Selasa malam ialah Datuk Redzuan Kushairi, ahli Majlis Diraja Perak yang turut menganggotai kumpulan moderat Melayu G25, serta beberapa individu lain yang tidak mahu dinamakan.
Mereka disertai bekas timbalan menteri pengajian tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan bekas setiausaha perbendaharaan, Tan Sri Mohd Sheriff Kassim.
Pengarah IRF, Datuk Dr Ahmad Farouk Musa berkata, Akyol menggunakan balai berlepas khas yang biasanya dikhususkan kepada penumpang VIP.
Bercakap kepada FMT sebelum berlepas dari Malaysia, Akyol berkata, ini kali pertama beliau ditahan.
“Saya tidak pernah ditangkap sebelum ini atas sebarang kesalahan, apatah lagi ketika menyampaikan beberapa ceramah.
“Ini bukan sesuatu yang saya bayangkan. Saya boleh membayangkan perkara ini mungkin berlaku di Arab Saudi, tetapi saya ingat Malaysia adalah masyarakat yang lebih terbuka,” katanya.
Akyol ialah penyokong kuat kebebasan bersuara di negara Islam dan sering mengkritik pendukung Islamis serta sekularis di negara asalnya.
Kehadirannya ke Malaysia buat ke-5 kali ini, mendapat bantahan beberapa kumpulan Islam konservatif dan pihak berkuasa agama yang mendakwa beliau mengajar agama tanpa tauliah.
Akyol sebelum ini diberikan surat arahan untuk hadir ke pejabat Jawi di Kuala Lumpur, atas tuduhan “mengajar agama tanpa tauliah”, sebelum penganjur ditekan membatalkan sebuah forum yang turut menampilkan Akyol.
Jawi berkata, Akyol ditahan berdasarkan satu “aduan daripada orang ramai” berhubung ceramahnya dalam perbincangan meja bulat bertajuk “Does freedom of conscience open the floodgate to apostasy?” di Kelab Golf Diraja Selangor, Kuala Lumpur.
Jawi turut memanggil Dr Farouk untuk disoal siasat kerana didakwa “bersubahat” dengan Akyol.
28 September 2017 - 12:35
News ID: 856968
Penulis terkemuka, Mustafa Akyol meninggalkan Malaysia dengan cara VIP susulan campur tangan personaliti terkenal di Turki serta Malaysia, jauh berbeza dengan layanan beliau terima ketika ditahan pihak berkuasa agama.