15 September 2019 - 17:18
Pengeluaran Minyak Saudi Susut 50% Akibat Serangan Houthi

Riyadh akhirnya mengesahkan serangan dron ke atas loji minyak utamanya oleh para pejuang Houthi Yaman sekaligus menyebabkan lima puluh peratus daripada pengeluaran minyak mentah negara itu terjejas.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Riyadh akhirnya mengesahkan serangan dron ke atas loji minyak utamanya oleh para pejuang Houthi Yaman sekaligus menyebabkan lima puluh peratus daripada pengeluaran minyak mentah negara itu terjejas.

Menteri tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz Bin Salman pada hari Ahad mengesahkan bahawa serangan-serangan berkaitan menyasarkan loji minyak di Abqaiq dan Khurais sekaligus menyebabkan bekalan minyak sebanyak 5.7 juta tong sehari terjejas, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Menteri Saudi itu walaubagaimanapun menegaskan bahawa isipadu yang terjejas akan diganti dengan stok sedia ada Aramco.

Beliau juga mengatakan bahawa serangan berkaitan juga telah menjejaskan bekalan gas asli yang juga menyaksikan penurunan sebanyak lima puluh peratus.

Menurut angka yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Maklumat Tenaga A.S, Arab Saudi pada bulan Ogos mengeluarkan 9.58 juta tong minyak mentah sehari.

Pihak Yaman pada hari Sabtu telah menerbangkan 10 buah dron untuk melancarkan serangan balas di dalam wilayah Arab Saudi sendiri. Serangan itu dilancarkan sebagai respon terhadap keganasan tentera pakatan Arab ke atas negara Yaman.

Arab Saudi sehingga hari ini mengetuai pakatan Arab untuk menyerang Yaman dalam rangka untuk melemahkan kedudukan Houthi di dalam kerajaan negara itu sekaligus mengangkat pemimpin boneka mereka di Sana'a.

Dalam perkembangan berkaitan, Amerika Syarikat dengan pantas dan tanpa bukti yang jelas telah menuding jari ke arah Tehran sebagai pihak yang bertanggungjawab ke atas serangan tersebut.

Perkara itu dapat dilihat daripada Tweet Setiausaha Negara A.S Mike Pompeo yang jelas menyalahkan Iran di atas serangan itu.

Tweet itu walaubagaimanapun mendapat respon negatif daripada pelbagai pihak yang menganggap tuduhan itu sebagai tidak berasas dan gagal menyampaikan situasi sebenar berhubung konflik Arab Saudi-Yaman.

"Saudi dan Houthi sedanga berperang. Saudi menyerang Houthi dan Houthi membalas semula, Iran menyokong Houthi dan Iran sememangnya peserta yang buruk. Akan tetapi, perkara ini tidak semudah menganggap Houthi=Iran," Tweet Chris Murphy yang merupakan Senator Parti Demokrat. -Press TV