18 September 2019 - 18:12
Imam Sajjad Hidupkan Citra Imam Hussein Di Sebalik Tekanan Dan Sekatan: Ustaz Kamil

Sirah Imam Sajjad a.s menunjukkan bahawa usaha menghidupkan citra Imam Hussein di Karbala adalah sesuatu yang penting di sebalik tekanan pihak luar, ujar Ustaz Kamil Zuhairi.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sirah Imam Sajjad a.s menunjukkan bahawa usaha menghidupkan citra Imam Hussein di Karbala adalah sesuatu yang penting serta wajib dilaksanakan di sebalik tekanan pihak luar, ujar Ustaz Kamil Zuhairi.

Beliau menyampaikan perkara itu di pusat komuniti ar-Ridha yang terletak di Gombak ketika berucap di hadapan hadirin yang menghadiri majlis bacaan doa tawassul dan Jausyan Kabir.

Majlis bacaan doa itu dianjurkan demi memperingati hari ulang tahun kesyahidan Imam Sajjad a.s serta memohon kepada Allah s.w.t supaya membantu kaum teraniaya di seluruh dunia.

Para hadirin turut mendoakan supaya kualiti udara di Malaysia yang merosot akibat fenomena jerebu kembali meningkat di dalam majlis yang sama.

Ustaz Kamil pada awal ucapannya mengingatkan para hadirin tentang situasi buruk yang dihadapi oleh Imam Sajjad selepas tragedi Karbala menutup tirainya.

Menurut beliau, Imam Sajjad a.s berhadapan dengan tekanan dan sekatan berterusan daripada Bani Umayyah khususnya dalam menjalankan tugas kebudayaannya sebagai pemimpin masyarkat Islam yang hakiki.

Di sebalik semua tekanan dan sekatan yang dilancarkan oleh Bani Umayyah dalam rangka untuk menutup citra Imam Hussein a.s di Karbala serta Ahlul Bait Nabi s.a.w secara keseluruhan, Imam Sajjad tetap melaksanakan tugasnya sebagai pembawa obor kisah Karbala dengan sempurna, nyata beliau lagi.

Menurut beliau, Imam Sajjad a.s dengan seluruh wujudnya telah melaksanakan tugas kebudayaannya dengan begitu mampan dan perkara utama yang beliau tekankan ketika itu ialah usaha untuk menghidupkan citra Imam Hussein a.s di Karbala.

"...perkara inilah yang kita akan teruskan di sebalik sekatan-sekatan yang wujud dalam menjelmakan objektif Imam Hussein a.s (di muka bumi Allah ini)," ujarnya ketika menyampaikan kesimpulannya dalam bentuk poin praktikal yang boleh diambil oleh pencinta Ahlul Bait khususnya di Malaysia ketika berhadapn dengan tekanan dan sekatan daripada pihak luar. -ABNA24