28 Oktober 2019 - 17:12
Othman Atau Abdullah Bakal Ganti Baghdadi?

Pengisytiharan kematian Abu Bakr al-Baghdadi menimbulkan persoalan mengenai siapa bakal menggantikan pemimpin Daesh itu dan rata-rata penganalisis berkata, tidak ramai calon ada.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pengisytiharan kematian Abu Bakr al-Baghdadi menimbulkan persoalan mengenai siapa bakal menggantikan pemimpin Daesh itu dan rata-rata penganalisis berkata, tidak ramai calon ada.

Bakal pengganti kumpulan pengganas itu lebih terhad apabila pejuang Kurdis berkata membunuh jurucakap kumpulan militan terbabit, Abu Hassan al-Muhajir dalam operasi bersama Amerika Syarikat (AS), malam semalam.

Pakar dari Iraq mengenai Daesh, Hisham al-Hashemi berkata, dua calon menjadi perhatian iaitu Abu Othman al-Tunsi dan Abu Saleh al-Juzrawi atau lebih dikenali sebagai Hajj Abdullah.

Othman adalah warga Tunisia yang mengetuai majlis syura Daesh dengan peranan perundangan manakala Abdullah mentadbir Jawatankuasa Pelaksana iaitu seperti badan eksekutif.

Namun, kedua-dua calon ini kontroversi, katanya, kerana mereka bukan warga Syria atau Iraq mengambil kira sebahagian besar angkatan gerila Daesh adalah dari kedua-dua negara ini.

“Ia mungkin membawa kepada pembelotan,” katanya.

Sementara ahli akademik dan pakar pengganas, Aymen Jawad Tamimi turut menamakan Abdullah sebagai pengganti berpotensi.

“Beliau muncul dalam dokumen bocor Daesh sebagai timbalan Baghdadi dan bagi saya, beliau masih hidup,” kata Tamimi.

Sesiapa yang menggantikan Baghdadi berdepan tugas sukar memimpin pertubuhan rapuh yang kini hanya kelompok senyap, selepas operasi berterusan menyebabkan kumpulan itu kehilangan wilayahnya di Iraq dan Syria. - AFP