Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian.com
Khamis

2 November 2023

4:13:23 PTG
1407879

Dewan AS lulus RUU benarkan sekatan asing terhadap penyokong Hamas dan Jihad Islam

WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) petang ini meluluskan rang undang-undang (RUU) yang akan membenarkan sekatan asing dikenakan terhadap penyokong Hamas dan pertubuhan Jihad Islam.

RUU bertajuk Akta Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas itu diluluskan oleh majoriti 363 berbanding 46 yang menentang. Daripada 46 penentang itu, ia terdiri daripada 45 Demokrat dan seorang Republikan. Seterusnya, RUU itu akan dibawa ke Senat.Inisiatif dwipartisan (dua parti atau kumpulan politik yang berlainan) diketuai oleh Brian Mast (Republikan-Florida) dan Josh Gottheimer (Demokratik-New Jersey). Perundangan itu memerlukan Presiden menyerahkan kepada Kongres laporan tahunan untuk tiga tahun akan datang yang mengenal pasti individu, agensi atau peralatan negara asing yang secara sedar dan material membantu Hamas, Jihad Islam, atau ahli gabungan atau pengganti salah satu organisasi terbabit. Selepas mengenal pasti organisasi, Presiden mesti mengenakan dua atau lebih sekatan, termasuk menafikan jaminan eksport-import; sokongan pertahanan di bawah Akta Kawalan Eksport Senjata; eksport amunisi (senjata) kepada mana-mana perjanjian yang mana seseorang yang dikenal pasti adalah sebahagiannya; eksport barangan atau teknologi dikawal atas sebab keselamatan negara; pinjaman lebih daripada AS$10 juta (RM47.53 juta) dan menyita harta yang dipegang di dalam AS. RUU itu juga menghendaki Presiden melaporkan kepada Kongres mengenai setiap kerajaan yang memberikan sokongan untuk tindakan keganasan dan memberikan sokongan material kepada Hamas, Jihad Islam, atau mana-mana organisasi gabungan atau pengganti atau Presiden memutuskan untuk terbabit dalam transaksi penting secara sedar dan secara material memberikan sokongan kepada Hamas, Jihad Islam atau mana-mana organisasi gabungan atau pengganti. 


342/