Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Utusan
Khamis

13 Jun 2019

5:47:58 PTG
950561

Segerakan Siasatan, Bantuan Kemanusiaan Kepada Rohingya - Prayuth

Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha mengarahkan pihak berkuasa berkaitan supaya menyegerakan siasatan ke atas sekumpulan 65 etnik Rohingya yang terkandas di Pulau Rawi di perairan Satun, selatan Thailand pada Selasa.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha mengarahkan pihak berkuasa berkaitan supaya menyegerakan siasatan ke atas sekumpulan 65 etnik Rohingya yang terkandas di Pulau Rawi di perairan Satun, selatan Thailand pada Selasa.

Timbalan Jurucakap Kerajaan Lt Jen Werachon Sukondhapatipak berkata Prayuth mengulangi kenyataannya bahawa kerajaan Thai akan terus menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada etnik Rohingya itu iaitu 31 wanita, 29 lelaki dan lima kanak-kanak di atas bot yang terkandas itu.

“Perdana Menteri menggesa pihak berkuasa yang berkaitan supaya menyegerakan siasatan dalam usaha menentukan sama ada semua penumpang bot itu merupakan mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

“Prayuth turut mengarahkan agensi kesihatan awam supaya melakukan pemeriksaan dan bantuan kesihatan yang perlu bagi mengelak sebarang wabak penyakit,” katanya kepada media di sini hari ini.

Prayuth berkata kerajaan Thai bekerjasama rapat dengan negara berjiran untuk menangani situasi itu.

“Kami (kerajaan Thai) akan mempertingkatkan rondaan di sepanjang pinggir pantai di samping menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada etnik Rohingya ini,” katanya.

Prayuth menggesa penduduk tempatan supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan sekiranya ternampak bot yang mencurigakan sepanjang pantai itu.

Selasa lepas, sebuah bot yang membawa 65 etnik Rohingya memasuki perairan Satun dan terkandas di Pulau Rawi disebabkan masalah enjin.

Polis Thai menahan enam lelaki semalam, iaitu juragan dan kru bot nelayan itu.

Polis Thai berkata etnik Rohingya itu dijaga dengan baik sambil pihak berkuasa cuba menentukan sama ada mereka adalah mangsa pemerdagangan manusia.

Media tempatan melaporkan jurugan bot itu, seorang warga Thai, mendakwa dia dibayar upah 100,000 Baht oleh seorang warga Myanmar untuk membawa kumpulan itu ke Malaysia. Pihak berkuasa telah mengenakan pertuduhan awal terhadapnya kerana membawa masuk pendatang asing ke negara ini.

Rohingya adalah kumpulan minoriti Muslim di Myanmar yang terpaksa meninggalkan kampung halaman berikutan penindasan ke atas mereka dan mendapatkan perlindungan di kem sementara di sempadan susulan serangan ke atas etnik itu pada 2017.

Media melaporkan kira-kira 740,000 etnik Rohingya mendapatkan perlindungan di kem yang penuh sesak di Bangladesh.- BERNAMA