Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Sinar Harian
Selasa

29 Oktober 2019

4:42:26 PTG
984959

Tentera AS Kebumi Mayat Al-Baghdadi Di Laut

Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) berkata, mayat pemimpin kumpulan militan Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi dikebumikan di laut susulan kematiannya dalam satu operasi khas tentera di Syria.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) berkata, mayat pemimpin kumpulan militan Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi dikebumikan di laut susulan kematiannya dalam satu operasi khas tentera di Syria.

Tentera AS dilaporkan meraikan kejayaan menghapuskan pengasas Daesh itu sekali gus menamatkan kempen yang berlanjutan selama beberapa tahun bagi menghancurkan organisasi terbabit.

Dalam pada itu pemberontak Kurdis Syria mendakwa menjadi sumber utama risikan yang membolehkan pihak AS menjejak Al-Baghdadi yang bertanggungjawab terhadap keganasan di sebahagian besar Iraq dan Syria.

"Kematiannya memberi tamparan hebat kepada saki-baki Daesh," kata Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper.

Esper turut memuji pasukan tentera yang dikerah ke kawasan terpencil di wilayah Idlib, Syria bagi melaksanakan misi sukar yang memerlukan kerjasama dengan pihak Rusia, Kurdis, Turki dan rejim Presiden Bashar al-Assad bagi mengelakkan pesawat AS daripada ditembak.

"Mereka melaksanakan serangan dengan bijak sekali," katanya.

Sementara itu Pengerusi Ketua Turus, Jeneral Mark Milley berkata, tiada sesiapa cedera ketika operasi meskipun pasukan AS ditembak ketika tiba di lokasi terbabit.

Difahamkan dua lelaki ditawan dan mayat Al-Baghdadi dibawa keluar selepas dia membunuh diri.

"Mayat Al-Baghdadi dibawa ke sebuah lokasi selamat bagi mengesahkan identitinya menggunakan ujian forensik DNA.

"Pengebumian mayat telah selesai dan dikendalikan sewajarnya," kata Miley sambil menambah ia dilakukan mengikut undang-undang konflik bersenjata.

Seorang lagi pegawai Pentagon mengesahkan mayat Al-Baghdadi dikebumikan di laut, di sebuah lokasi tidak dinamakan, sama seperti yang dilakukan terhadap mayat pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden pada tahun 2011 susulan serangan tentera AS di Pakistan. - AFP