18 Januari 2020 - 17:34
6 Pesawat F-35 A.S Berada Di Sempadan Iran Ketika Insiden Pesawat Ukraine: Rusia

Pemangku Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata terdapat maklumat - yang tidak dapat disahkan - bahawa sekurang-kurangnya enam jet F-35 Amerika Syarikat "berada di kawasan sempadan Iran" ketika tentera Iran secara tidak sengaja menembak jatuh pesawat Ukraine PS752 pada minggu lalu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pemangku Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata terdapat maklumat - yang tidak dapat disahkan - bahawa sekurang-kurangnya enam jet F-35 Amerika Syarikat "berada di kawasan sempadan Iran" ketika tentera Iran secara tidak sengaja menembak jatuh pesawat Ukraine PS752 pada minggu lalu.

"Maklumat ini belum dapat disahkan, tetapi saya ingin menggariskan ketegangan yang selalu menyertai situasi seperti ini," katanya pada hari Jumaat.

Lavrov menegaskan peri penting untuk memahami insiden tersebut dalam konteks menyeluruh di mana perkara itu berlaku ketika pasukan bersenjata Iran berada dalam tahap kesiagaan tertinggi selepas melancarkan respon mereka terhadap pembunuhan Leftenan Jeneral Qassem Soleimani di tangan A.S.

"Terdapat maklumat yang menunjukkan bahawa Iran sedang menanti serangan balas dari Amerika Syarikat selepas serangan perluru berpandu balistik oleh Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), tetapi mereka tidak tahu perihal bentuk serangan balas tersebut," kata Lavrov.

Menteri Luar Rusia menambah bahawa beliau bukanlah berusaha untuk memberi alasan kepada sesiapa berkaitan dengan insiden itu.

Pada 8 Januari lalu, pesawat Ukraine terhempas beberapa minit selepas berlepas dari lapangan terbang IKA ketika dalam perjalanan ke Kiev. Kejadian itu menyebabkan kematian semua 176 orang yang menaiki pesawat, kebanyakan mereka adalah warga Iran. -Agensi