Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Tentera Syria mengatakan bahawa kumpulan pengganas tajaan kuasa asing kini sibuk membuat persiapan untuk melancarkan serangan 'false flag' di wilayah Idlib dan Aleppo sebelum meletakkan kesalahan ke atas tentera kerajaan yang kemudiannya akan digunakan sebagai alasan untuk mengizinkan tindakan pencerobohan dan kekerasan tentera asing terhadap negara Arab itu.
Agensi berita rasmi Syria SANA, yang memetik kenyataan oleh sumber tentera pada hari Isnin yang mengatakan bahawa "organisasi pengganas" tersebut akan menggunakan taktik 'false flag' setiap kali tentera Syria memiliki kelebihan dalam operasi anti-keganasan mereka.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa kumpulan pengganas "yang menerima sokongan Turki" kini sedang sibuk membuat persiapan untuk melancarkan serangan kimia di Idlib dan Aleppo sebelum menuding jari ke arah tentera Syria.
Usaha itu dilihat sebagai percubaan mereka untuk menyekat operasi tentera kerajaan di kedua-dua wilayah tersebut melalui campur tangan langsung tentera asing.
"Helah yang digunakan oleh pengganas ini ... telah menjadi usang dan tidak lagi mampu menipu sesiapa pun dan tidak akan membantu organisasi pengganas dan penyokong mereka dalam mencapai apa yang mereka kehendaki," katanya.
"Komuniti antarabangsa kini memahami bahawa tentera Syria tidak pernah menggunakan senjata kimia serta tidak lagi memiliki senjata seperti itu," katanya.
Pada bulan November 2019, Rusia pernah memberi amaran bahawa anggota kumpulan pengganas Hayat Tahrir al-Sham (HTS) bersama-sama dengan kumpulan pertahanan awam sokongan Barat, 'White Helmets' sedang merancang untuk melancarkan serangan kimia di seluruh negara Arab itu sebelum menyalahkan tentera kerajaan di atas jenayah kemanusiaan itu. -Agensi
27 Januari 2020 - 18:54
News ID: 1006000
Tentera Syria mengatakan bahawa kumpulan pengganas tajaan kuasa asing kini sibuk membuat persiapan untuk melancarkan serangan 'false flag' di wilayah Idlib dan Aleppo sebelum meletakkan kesalahan ke atas tentera kerajaan yang kemudiannya akan digunakan sebagai alasan untuk mengizinkan tindakan pencerobohan dan kekerasan tentera asing terhadap negara Arab itu.