1 Mei 2020 - 17:09
WHO Mahu Jemputan China Untuk Sertai Siasatan Punca COVID-19

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berharap China akan menjemputnya untuk menyertai siasatan mencari punca COVID-19 yang dikatakan berasal dari pasar hidupan liar negara itu.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berharap China akan menjemputnya untuk menyertai siasatan mencari punca COVID-19 yang dikatakan berasal dari pasar hidupan liar negara itu.

Jurucakap WHO, Tarik Jasarevic, berkata agensi di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu sedia bekerjasama dengan badan antarabangsa serta China untuk menyiasat penyebab virus terbabit.

Beliau juga mengakui menerima makluman bahawa China sudah menjalani sejumlah penyelidikan dalam usaha memahami penularan virus terbabit tetapi langsung tidak membabitkan WHO.

"Penyelidikan pertama adalah berkaitan punca pemindahan virus membawa maut itu daripada haiwan kepada manusia, selepas ia pertama kali dikesan di China hujung tahun lalu, dipercayai di pasar yang menjual haiwan liar di Wuhan.

"Hal itu mendorong Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa virus terbabit wujud dari makmal rahsia China, namun spekulasi itu ditolak kebanyakan pakar," katanya.

Susulan itu, WHO turut menerima kritikan hebat Trump, yang menghentikan dana AS kepada badan dunia itu atas alasan ia gagal menangani pandemik itu dan berkomplot dengan China.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, minggu ini menjelaskan bahawa pasukan saintis antarabangsa sudah ke China pada Februari lalu bagi menyiasat keadaan sebenarnya.

Kumpulan terbabit disertai pakar dari China, Jerman, Jepun, Korea Selatan, Nigeria, Russia, Singapura dan AS sendiri.

Bagaimanapun, apabila wabak itu memuncak di China, WHO mengakui pihaknya tidak terbabit dengan penyiasatan ketika itu.

Jasarevic berkata, siasatan yang sedang dijalankan dipercayai menjurus kepada pesakit dengan simptom awal di Wuhan pada penghujung 2019 selain mendapatkan sampel dari persekitaran pasar di mana kes pertama membabitkan manusia dikesan.

Rekod terperinci mengenai sumber dan spesies hidupan liar serta dan haiwan ternakan yang di jual di pasar itu turut diperoleh.

"Hasil kajian asal virus itu penting untuk mencegah virus zoonotik seterusnya merebak daripada haiwan kepada manusia, seperti mana yang berlaku dengan COVID-19.

"WHO akan terus bekerjasama dengan pakar haiwan dan kesihatan manusia, negara dan rakan kerjasama lain bagi mengesan jurang dan keutamaan penyelidikan untuk mengawal COVID-19, termasuk mengenal pasti sumber virus itu di China," katanya. - AFP