26 Jun 2020 - 15:54
Bekas Hakim Iran Maut Akibat Jatuh Dari Tempat Tinggi: Romania

Kerajaan Romania berkata bahawa hasil bedah siasat menunjukkan bahawa bekas hakim Iran telah menemui ajal akibat dari trauma yang dialaminya akibat jatuh dari tempat yang tinggi.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Kerajaan Romania berkata bahawa hasil bedah siasat menunjukkan bahawa bekas hakim Iran telah menemui ajal akibat dari trauma yang dialaminya akibat jatuh dari tempat yang tinggi.

Gholamreza Mansouri sebelum itu diburu oleh kerajaan Iran berikutan kes rasuah yang dilakukan di negara tersebut.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari Selasa, bahagian pendakwaan di Bucharest berkata bahawa kesimpulan awal daripada proses bedah siasat forensik menunjukkan bahawa kematian Gholamreza Mansouri diakibatkan oleh trauma yang terhasil berikutan hentakan ke atas permukaan yang keras.

Jasad hakim yang berusia 52 tahun itu ditemui di Hotel Duke pada hari Jumaat.

Mansouri, yang dituduh mengambil rasuah sebanyak Euro 500,000 merupakan salah seorang daripada defendan dalam satu perbicaraan rasuah berprofil tinggi yang sedang dijalankan di Iran.

Kes itu juga melibatkan bekas Timbalan Ketua Kehakiman Iran, Akbar Tabari.

Pihak berkuasa di Tehran dilapornkan telah mengeluarkan notis tangkapan ke atas Mansouri melalui Pertubuhan Polis Antarabangsa (Interpol).

Iran juga dilaporkan meminta pihak berkaitan untuk segera mengekstradisi Mansouri ke Tehran.

Bekas hakim itu telah ditangkap di Romania. Akan tetapi, dia kemudiannya dibebaskan dari tahanan polis dan diletakkan di bawah pemerhatian mereka.

Sebuah mahkamah di Bucharest telah memberikan Republik Islam masa sehingga 10 Julai untuk memfailkan dokumen pengekstradisian Mansouri. -Press TV